Sampel gigi jadi harapan keluarga sahkan identiti Shahril

18 Sep 2026 • 4:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sampel gigi jadi harapan keluarga sahkan identiti Shahril
Sinar Harian sebelum ini melaporkan mayat Mohamad Shahril ditemukan sekumpulan nelayan di perairan Hutan Melintang, Perak, kira-kira jam 9.30 pagi pada Rabu sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat.

KLANG - Keluarga Allahyarham Mohamad Shahril Abd Rahman, 43, masih menantikan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membolehkan jenazah mangsa tragedi bot karam itu dituntut dan dikebumikan.

Adik ipar mangsa, Shahdan Samsuri berkata, sampel gigi menjadi antara bahan yang masih boleh digunakan untuk membantu proses pengesahan identiti Allahyarham.

Bagaimanapun, katanya, proses perbandingan DNA berdepan kesukaran kerana Allahyarham tidak mempunyai rekod pergigian atau gambar susunan gigi.

"Buat masa ini, sampel gigi adalah antara sampel yang masih kukuh. Namun, kita tidak dapat membuat perbandingan kerana tiada rekod pergigian atau gambar susunan gigi Allahyarham.

"Sampel yang lain kebanyakannya tercemar kerana jenazah terlalu lama berendam dalam air laut," katanya pada Jumaat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan mayat Mohamad Shahril ditemukan sekumpulan nelayan di perairan Hutan Melintang, Perak, kira-kira jam 9.30 pagi pada Rabu sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat.

Isnin lalu, Maritim Malaysia Selangor melancarkan SAR selepas menerima laporan berhubung kehilangan tujuh pemancing di One Fathom Bank pada 3.35 pagi.

Empat daripada mereka ditemukan selamat di perairan Sekinchan pada hari kedua operasi itu sebelum mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Hospital Banting bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Pada Rabu, polis mengesahkan penemuan mayat Mohd Shahril Abd Rahman, 43, di perairan Hutan Melintang pada 8.30 pagi.

Media pada Khamis kemudiannya melaporkan mayat yang ditemukan terapung di perairan Perak pada Khamis disahkan salah seorang daripada mangsa bot pemancing karam iaitu Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pada jam 4.26 petang, pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) menerima maklumat daripada sebuah bot nelayan berhubung penemuan satu mayat lelaki dalam keadaan terapung.

Dalam pada itu, Shahdan berkata, sampel DNA dihantar ke Jabatan Kimia pada hari sama selepas bedah siasat dan diterima kira-kira jam 3 petang pada Khamis.

Katanya, sehingga jam 12 tengah hari Jumaat, keputusan DNA masih belum diterima dan keluarga dimaklumkan ia mungkin diperoleh petang ini atau selewat-lewatnya Isnin.

Shahdan berkata, proses pengecaman mangsa dilakukan kira-kira jam 10.30 pagi pada Khamis sebelum bedah siasat dimulakan 15 minit kemudian dan selesai lebih dua jam selepas itu.

"Jadi, sampai hari ini, untuk proses pengeluaran jenazah dari hospital tak dapat dilakukan dan kita tiada jawapan untuk membuat proses pengurusan jenazah.

"Justeru, kita berharap dipercepatkan proses pengesahan tersebut bagi memudahkan urusan selanjutnya termasuk pengebumian Allahyarham," katanya.

Dalam pada itu, Shahdan berkata, ahli keluarga turut meluahkan kekesalan berhubung kelewatan menuntut jenazah Allahyarham selepas video penemuan lima mangsa, termasuk empat yang terselamat, tular di media sosial.

Menurutnya, keadaan jenazah ketika pengecaman secara fizikal didapati sangat berbeza berbanding pengecaman menerusi gambar yang ditunjukkan kepada keluarga sebelum ini.

"Khabar angin pada awalnya yang mengatakan mereka jumpa berlima (termasuk Shahril), namun berdasarkan video yang tersebar itu maknanya betullah jumpa berlima.

"Ahli keluarga juga menuntut penjelasan sama ada polis telah mengambil keterangan daripada keempat-empat mangsa berkaitan satu mayat bersama mereka adalah mayat Shahril," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved