
SHAH ALAM – Sampel gigi menjadi bahan terakhir masih kukuh bagi membantu proses pengesahan ujian asid deoksiribonukleik (DNA)
Allahyarham Mohamad Shahril Abd. Rahman, 43, yang masih belum dapat dituntut keluarganya selepas menjadi mangsa tragedi bot karam.
Adik ipar mangsa, Shahdan Samsuri berkata, kebanyakan sampel yang diambil ketika bedah siasat tercemar dipercayai kerana Allahyarham terlalu lama berendam dalam air laut.
Katanya, bagaimanapun proses pengesahan DNA menggunakan sampel gigi itu berdepan kesukaran kerana Allahyarham tidak mempunyai rekod pergigian.
“Buat masa ini, sampel gigi adalah antara sampel yang masih kukuh. Namun, kita tidak dapat membuat perbandingan kerana tiada rekod pergigian atau gambar susunan gigi Allahyarham.
“Sampel yang lain kebanyakannya tercemar kerana jenazah terlalu lama berendam dalam air laut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurutnya, sampel DNA dihantar ke Jabatan Kimia pada hari sama selepas bedah siasat dan diterima kira-kira pukul 3 petang semalam.
Ujarnya, sehingga pukul 12 tengah hari ini, keputusan DNA masih belum diterima dan pihak keluarga dimaklumkan keputusan mungkin diperoleh petang ini atau selewat-lewatnya Isnin.
Mangsa yang merupakan bapa kepada tiga orang anak itu melalui proses pengecaman kira-kira pukul 10.30 pagi semalam sebelum proses bedah siasat dimulakan pada pukul 10.45 pagi dan selesai lebih dua jam kemudian.
“Jadi, sampai hari ini, untuk proses pengeluaran jenazah dari hospital tak dapat dilakukan dan
kita tiada jawapan untuk membuat proses pengurusan jenazah.
“Justeru, kita berharap dipercepatkan proses pengesahan tersebut bagi memudahkan urusan selanjutnya termasuk pengebumian Allahyarham,” jelasnya.
Dalam pada itu, ahli keluarga turut menzahirkan kekesalan akibat kelewatan jenazah Mohamad Shahril diambil susulan video penemuan lima mangsa termasuk empat yang selamat itu tular.
Tambahnya, keadaan mangsa didapati sangat teruk ketika pengecaman fizikal sebelum bedah siasat berbanding pengecaman secara gambar ditunjukkan sebelum ini.
“Khabar angin pada awalnya yang mengatakan mereka jumpa berlima (termasuk Shahril) namun berdasarkan video yang tersebar itu maknanya betullah jumpa berlima.
“Ahli keluarga juga menuntut penjelasan sama ada polis telah mengambil keterangan daripada keempat-empat mangsa berkaitan satu mayat bersama mereka adalah mayat Shahril,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Mayat Mohd. Shahril dijumpai sekumpulan nelayan di perairan Hutan Melintang, Perak kira-kira pukul 9.30 pagi kelmarin sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam (HSA) untuk proses bedah siasat. – KOSMO! ONLINE
The post Bot Karam: Sampel gigi harapan terakhir sahkan DNA Shahril appeared first on Kosmo Online.






