

Bermula 1 November ini, kegiatan mat rempit dan samseng jalanan di Malaysia bakal berdepan hukuman penjara yang lebih berat apabila pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 mula dikuatkuasakan oleh JPJ bagi membanteras perlumbaan haram yang membahayakan keselamatan orang awam.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan mengesahkan bahawa pindaan kepada akta berkaitan kini menunggu proses pewartaan akhir sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya.
Langkah drastik ini diambil kerana isu perlumbaan haram dan pemanduan berbahaya telah menjadi barah di peringkat nasional yang menuntut tindakan penguatkuasaan berterusan.
Perkukuh Seksyen 42(a) Demi Keselamatan Jalan RayaMelalui pindaan undang-undang terbaharu ini, pegawai penyiasat diberi kuasa lebih kukuh untuk mengambil tindakan tegas di bawah Seksyen 42(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Peruntukan tersebut direka khusus untuk mengekang aktiviti menunggang secara berbahaya serta samseng jalanan yang sering meragut nyawa pengguna jalan raya yang lain.
Pihak JPJ berharap penguatkuasaan ini menjadi amaran keras kepada pesalah agar lebih berhemah di atas jalan raya.
Selain isu nasional, pihak JPJ turut memberi perhatian serius terhadap lokasi panas seperti isu berulang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu.
Bagi memastikan lokasi tersebut bebas daripada ancaman mat rempit, JPJ akan memperkemas kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).





