Samseng semakin berani, Cikgu Chandra dakwa insiden bukan kali pertama

LocalPolitics
10 Mar 2026 • 2:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara kenderaan milik Cikgu Chandra yang didakwa dibakar sekumpulan individu.
image is not available
Salah sebuah kenderaan milik Cikgu Chandra yang terkesan akibat kejadian.

PUCHONG – Tindakan sekumpulan samseng yang didakwa semakin berani membuat onar tanpa rasa takut menimbulkan kebimbangan apabila seorang aktivis mendakwa menjadi sasaran serangan berulang kali, termasuk kejadian terbaharu di kediamannya di Taman Kinrara di sini pada Selasa.

Mangsa, S Chandrasegaran, 47, yang lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Chandra’ berkata, insiden tersebut bukan kali pertama menimpanya apabila sebelum ini pernah diserang individu tidak dikenali pada tahun 2022.

Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil terhadap pelaku dalam kejadian terdahulu.

Katanya, satu lagi kejadian serangan turut berlaku pada Oktober 2024 ketika dia berada di sebuah pusat beli-belah di Seremban, Negeri Sembilan.

"Dalam kejadian itu saya turut mengalami kecederaan akibat ditetak, namun kes berkenaan juga tidak menunjukkan sebarang perkembangan," katanya pada Selasa.

Mengulas kejadian terbaharu, Chandra berkata, kawalan keselamatan di kediamannya kini diperketatkan selepas rumahnya diserang sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika dia berada di rumah bersama dua anaknya.

Katanya, dua lelaki tidak dikenali dipercayai membuka pagar rumah sebelum bertindak memecahkan cermin belakang kereta Perodua Viva miliknya dan merosakkan jeriji besi di bahagian hadapan kediaman.

"Sebaik menyedari kehadiran mereka, saya terus menutup pintu hadapan rumah.

"Suspek bagaimanapun terus mengetuk pintu selama beberapa minit sebelum beredar,” katanya.

Chandra berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kemudian mendapati terdapat kira-kira enam individu berada di luar rumah ketika kejadian.

Menurutnya, kesemua suspek dipercayai menaiki dua buah kenderaan.

Tambahnya, gangguan terhadap keluarganya tidak berakhir di situ apabila sekumpulan individu dipercayai datang semula ke rumahnya kira-kira jam 3.20 pagi.

Ujarnya, individu itu dipercayai bertindak membaling objek disyaki bom petrol atau molotov cocktail ke arah kediamannya.

**media[3458651]**

Akibat kejadian itu, sebuah kenderaan jenis Suzuki Ertiga miliknya musnah sepenuhnya selepas terbakar.

Beliau berkata, dua lagi kenderaan iaitu Perodua Viva dan sebuah lagi kereta turut mengalami kerosakan akibat kebakaran tersebut.

Dalam pada itu, Chandra mendakwa, tindakan geng samseng terbabit menunjukkan kegiatan jenayah semakin berani dan perlu ditangani secara tegas oleh pihak berkuasa.

"Geng samseng ini semakin berani, jangan takut untuk ambil tindakan terhadap mereka yang dipercayai dilindungi individu tertentu,” dakwanya.

Tambahnya, kejadian yang berlaku turut memberi kesan kepada keluarganya yang masih trauma selepas melalui detik cemas berkenaan.