Tiga kereta Cikgu Chandra dibakar

LocalPolitics
10 Mar 2026 • 7:28 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Video kereta dibakar yang dikongsi Firdaus Wong di Thread.

SHAH ALAM – Tiga kereta milik seorang individu dikenali sebagai Cikgu Chandra dibakar, dipercayai dilakukan oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali.

Menurut perkongsian pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung di Threads, kejadian itu berlaku pada pagi Selasa.

“Petang tadi, tiga buah kereta dengan beberapa lelaki memakai topeng penuh dan bersenjatakan parang cuba membunuh Cikgu Chandra.

“Awal pagi tadi, sekitar jam 3 lebih, mereka membakar ketiga-tiga buah kereta Cikgu Chandra. Mujur polis dan bomba sampai cepat untuk memadamkan api dan mengawal keadaan,” ujarnya pada Selasa.

Sebelum ini, rumah Cikgu Chandra di Puchong didakwa telah diserang sekumpulan lelaki yang memecahkan cermin kereta serta tingkap kediamannya.

Serangan ini berlaku hanya beberapa hari selepas seorang pendakwah bebas terkenal, Zamri Vinoth, diserang sekumpulan lelaki ketika berada di dalam keretanya.

Firdaus Wong turut menegaskan supaya mereka yang melakukan jenayah tersebut diambil tindakan segera.

“Kita tidak boleh biarkan pelampau begini berleluasa. Ini negara hukum.

“Hukum penghasut dan pelampau dengan segera sebelum tindakan mereka membakar negara,” katanya.