Samsung Dilaporkan Akan Melancarkan Peranti Skrin Tri-Lipat Tahun Ini

TechnologyDigital
25 Feb 2025 • 10:25 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Ketika pelancaran siri Galaxy S25 bulan lalu, kewujudan peranti skrin tri-lipat telah diacah bersama dengan cermin mata pintar dan juga set kepala XR. Ura-ura sebelum ini mengatakan peranti akan dilancarkan sebagai Galaxy G Fold dalam masa beberapa tahun lagi. Tetap menurut laporan ETNews semalam, Galaxy G akan dilancarkan bersama dengan Galaxy Z Fold7 sekitar Julai depan.

image is not available

Seperti yang kami laporkan sebelum in, Galaxy G mempunyai skrin luar sebesar 6.49″ dan membesar menjadi 9.96″ apabila dibuka. Rekaan Galaxy G kelak tidak akan sama dengan Mate XT Ultimate yang merupakan peranti tri-lipat pertama dunia. Sebaliknya Galaxy G mengikut rekaan prototaip Flex G sebelum ini.

image is not available

Kedua-dua pintu kiri dan pintu kanan skrin akan melipat ke dalam. Oleh itu skrin boleh-lipat tidak akan terdedah kepada kerosakan. Ini mungkin pilihan rekaan yang terbaik kerana antara isu dengan lipat keluar yang digunakan pada Huawei Mate XT Ultimate dan Mate X ialah kerosakan berlaku kerana skrin lipat tidak mempunyai lapisan kaca lebih tahan lasak untuk mengelakkan kerosakan.

Samsung juga dipercayai akan menghasilkan Galaxy G dalam jumlah yang terhad terlebih dahulu. Ini ialah taktik pemasaran yang sama seperti Galaxy Ring tahun lalu. Pemasaran lebih meluas hanya akan dilakukan sekiranya melihat terdapat permintaan tinggi untuk peranti skrin tri-lipat dalam kalangan pengguna.