Pada bulan lalu muncul laporan Samsung sedang mempertimbangkan untuk menukar enjin carian lalai pada peranti mereka dengan Bing. Ini kerana Bing dilihat sebagai enjin carian yang lebih canggih selepas mengintegrasikan ChatGPT. Hari ini Wall Street Journal melaporkan Samsung tidak lagi merancangkan menggantikan Google dengan Bing.

Semua kajian dalaman untuk menggantikan enjin carian telah dihentikan kerana kerisauan mengenai reaksi pasaran dan juga impaknya terhadap hubungan perniagaan Samsung dengan Google. Sejak laporan asal diterbitkan, Google mengumumkan AI Bard mereka kini boleh digunakan di seluruh dunia dengan sokongan Bahasa Jepun dan Korea. Tidak diketahui sama ada sokongan Bahasa Korea ini adalah cara Google untuk memujuk Samsung untuk terus bersama mereka.
Menerusi Google Labs pula, pelbagai ciri kecerdasan buatan yang mempunyai ciri yang sama dengan ChatGPT serta GPT-4 turut diperkenalkan oleh Google pada produk mereka seperti Gmail dan Google Workspace.
