
Samsung Galaxy A08 kini dilancarkan secara rasmi selepas disenaraikan secara senyap di laman web rasmi beberapa negara termasuk Malaysia. Model ini hadir sebagai penerus siri Galaxy A untuk segmen asas, dengan peningkatan ketara pada kapasiti bateri yang kini berbekalkan 6000mAh.

Galaxy A08 hadir dengan skrin IPS LCD 6.7 inci beresolusi 1600 × 720 piksel. Ia dipadankan dengan memori 6GB RAM bersama storan dalaman 128GB. Bagi pengguna yang memerlukan ruang tambahan, sokongan kad microSD sehingga 2TB turut disediakan. Sementara itu, maklumat mengenai cip pemprosesan tidak pula dinyatakan dalam laman web rasmi namun ia telah disahkan menyokong rangkaian 4G.

Galaxy A08 membawa peningkatan dengan kapasiti bateri 6,000mAh berbanding 5,000mAh pada model Galaxy A07 LTE. Ia turut menawarkan gabungan kamera utama 50MP + 2MP manakala kamera hadapan 8MP untuk swafoto. Telefon ini masih mengekalkan bicu audio 3.5mm dan hadir dengan penarafan IP64 bagi ketahanan terhadap percikan air serta debu.
Buat masa ini, tiada harga disenaraikan dan ia hanya dinyatakan sebagai akan datang di laman rasmi.
Sumber – Samsung Malaysia



