Media sosial kini dibanjiri dengan pelbagai berita semasa mengenai produk baharu Samsung Galaxy A, termasuklah terdapatnya laman daftar minat untuknya yang mula diterbitkan sebelum ini. Namun Samsung masih kekal berteka-teki mengenai banyak perkara, sama ada untuk tarikh pelancaran rasmi mahupun perkakasan dalaman pada peranti.

Terbaharu Samsung Galaxy A34 5G dilaporkan telah ditemui tersenarai menerusi laman web rasmi Samsung Switzerland. Apa yang lebih menarik, ia bukan sahaja memperlihatkan reka bentuk pada peranti malahan juga maklumat perkakasan dalaman. Di mana peranti menggunakan skrin hadapan bertakuk kecil bersama panel belakang yang menempatkan sistem tri-kamera.
Saiz skrin adalah sebesar 6.6-inci dengan panel AMOLED beresolusi FHD+ (1080 X 2340 piksel). Ini dipadankan pula dengan sistem tri-kamera utama 48MP OIS + 8MP + 5MP dan kamera swafoto 13MP. Tiada maklumat mengenai cip pemprosesan yang didedahkan tetapi pilihan memori boleh mencapai 8GB RAM dan storan pula sehingga 256GB.
Selain itu, kapasiti bateri pula sebesar 5000mAh yang juga menyokong sistem pengecasan 25W. Peranti juga mempunyai sistem pengimbas cap jari di skrin bagi tujuan sekuriti, selain turut melepasi penarafan kalis air IP67 terbina pula sebagai pelindungan tambahan. Turut disediakan pada peranti ialah kebolehan dwi-SIM dengan sokongan mikroSD dan ciri Samsung Pay bagi tujuan sistem pembayaran nirwayar.
Bagaimanapun, hasil tinjauan kami mendapati entri berkenaan telah diturunkan daripada laman web. Dengan adanya ketirisan seperti ini, kita boleh menyasarkan peranti ini berkemungkinan muncul tidak lagi.
The post Samsung Galaxy A34 5G Diperlihatkan Secara Tidak Sengaja Pada Laman Web Rasmi first appeared on Amanz.


