Samsung Galaxy A57 5G dan Galaxy A37 5G turut naik harga bermula 7 September

LocalTechnology
26 Aug 2026 • 7:35 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

Samsung Galaxy A57 5G dan Galaxy A37 5G turut naik harga bermula 7 September

Pada bulan Julai tahun ini, Samsung mengumumkan kenaikan harga untuk telefon permulaan mereka, Galaxy A17 dan Galaxy A07. Tapi nampaknya, model pertengahan turut tidak terlepas daripada kesan yang sama.

Menerusi kenyataan terbaru, Samsung Malaysia mengesahkan bahawa model pertengahan mereka, Galaxy A57 5G dan Galaxy A37 5G, turut mengalami kenaikan harga bermula 7 September nanti.

Menurut Samsung, kenaikan harga ini berpunca daripada peningkatan berterusan kos komponen global, khususnya bagi cip memori dan RAM. Samsung menegaskan mereka telah cuba sedaya upaya menyerap kenaikan kos ini serta meminimumkan kesannya kepada pengguna, namun tekanan kos berterusan yang dihadapi seluruh industri menjadikan penyesuaian harga ini satu keperluan.

Meskipun begitu, Samsung Malaysia menegaskan mereka masih komited untuk mengimbangi antara membawa inovasi bermakna kepada pengguna, dengan menawarkan nilai yang tetap menarik.

Harga baharu Galaxy A57 5G dan Galaxy A37 5G

Dengan kemas kini harga baharu ini, harga Galaxy A57 5G bakal melonjak sehingga RM220, dengan varian 8GB+256GB Galaxy A57 5G menjadi model yang paling terkesan. Namun, terdapat juga sesetengah varian yang kekal dengan harga lama. Berikut harga baharu bagi kedua-dua model:

Galaxy A57 5G

  • 8GB+256GB — RM2,319 (harga lama: RM2,099)
  • 12GB+256GB — RM2,399 (harga lama: RM2,399, tiada perubahan)
  • 12GB+512GB — RM2,899 (harga lama: RM2,699)

Galaxy A37 5G

  • 8GB+256GB — RM2,199 (harga lama: RM1,999)
  • 12GB+256GB — RM1,899 (harga lama: RM1,899, tiada perubahan)

Sekadar maklumat tambahan, pada Mei lalu, Samsung Malaysia ada menawarkan rebat untuk kedua-dua model, menjadikan model Galaxy A37 5G 8GB + 256GB boleh dibeli serendah RM1,499, manakala model Galaxy A57 5G 12GB + 512GB boleh didapatkan pada harga RM1,799.

Spesifikasi ringkas Galaxy A57 dan Galaxy A37

Kedua-dua Galaxy A57 dan Galaxy A37 ini berkongsi beberapa spesifikasi utama yang sama. Kedua-duanya dilengkapi panel Super AMOLED+ 6.7″ beresolusi FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz.

Selain itu, kedua-dua model turut berkongsi kapasiti bateri 5,000mAh, dengan sokongan pengecasan 45W menerusi USB-C. Sejurus keluar dari kotak, kedua-duanya akan menjalankan One UI 8.5 berasaskan Android 16, dengan jaminan sokongan kemas kini sehingga 6 tahun.

Untuk bahagian kamera pula, terdapat sedikit perbezaan antara kedua-dua model. Galaxy A57 5G dilengkapi kamera utama 50MP, ultralebar 12MP, makro 5MP, dan kamera selfie 12MP. Manakala Galaxy A37 5G pula mengekalkan susunan kamera yang hampir serupa, cuma kamera ultralebarnya menggunakan sensor yang lebih kecil pada 8MP.

Dari segi cip pula, Galaxy A57 5G dikuasakan Exynos 1680, manakala Galaxy A37 5G pula menggunakan Exynos 1480.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Galaxy A57 dan A37.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved