Samsung Galaxy S25 Edge dilancarkan secara rasmi pagi ini menerusi acara atas talian. Seperti yang sudah diacah oleh Samsung sejak Januari lagi, Galaxy S25 Edge ialah peranti senipis 5.8 mm berbanding Galaxy S25 Ultra yang “setebal” 8.2mm.

Peranti akan dilengkapi skrin 6.7″ AMOLED LPTPO 120 Hz , dijana cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy, memori sebesar 12GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri pula sebesar 3900 mAh dengan pengecasan berwayar 25W sahaja yang boleh dikategorikan sebagai mengecewakan. Ia masih menyokong pengecasan nirwayar dan juga berbalik seperti peranti lain dalam siri S25 tahun ini.

Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 200MP f/1.7 dan lensa ultra lebar 12MP f/2.2. Ini berbeza dengan siri Galaxy S25 lain yang dilengkapi tri-kamera di belakang. Di hadapan pula kamera 12MP f/2.2 diletakkan dalam lubang skrin.

Terdapat pengimbas cap jari ultrasonik terbina dalam skrin bersama dengan kemampuan kalis air serta debu IP68. Tubuh peranti hanya setebal 5.8mm yang adalah 20% lebih nipis berbanding Galaxy S25+ yang setebal 7.3mm.
Di Amerika Syarikat harga jualan Samsung Galaxy S25 Edge bermula $1100 (~RM 4763) untuk model 12/256 GB dan $1220 (~RM 5283) untuk model 12/512 GB dalam pilihan warna Titanium Jetblack, Titanium Icyblue and Titanium Silver. Tiada pengumuman pada waktu ini sama ada ia akan ditawarkan di Malaysia.
