Samsung merupakan salah satu daripada syarikat pengeluar komponen-komponen memori dan storan yang terbesar di dunia, dan telah menghasilkan banyak komponen tersebut untuk pelbagai jenis industri, dari komputer dan peranti pengguna, automotif, industri pengilangan, pusat data dan sebagainya.
Terkini, ia telah dilaporkan bahawa Samsung telah menetapkan status pengeluaran komponen memori DDR, termasuklah LPDDR4 juga sebagai end of life ataupun ditamatkan pengeluarannya, dan tidak lagi akan mengambil tempahan baru untuk komponen memori tersebut.
Melihat kepada laman web Samsung Semiconductor, ia juga telah mengumumkan bahawa komponen LPDDR4 dan LPDDR4X sudah tidak lagi dihasilkan, dan ini merupakan tanda paling besar bahawa Samsung tidak akan mengambil pesanan baru dan menghasilkan memori ini lagi.

Menurut laporan The Elec, Samsung Semiconductor akan menghentikan pengeluaran cip memori tersebut secara berperingkat sepanjang tahun ini, memenuhi permintaan pelanggan sedia ada, sebelum menghentikannya sepenuhnya bermula awal tahun depan.
Samsung telah menghasilkan memori DDR4 dan LPDDR4 untuk kira-kira 8 ke 10 tahun kerana permintaan untuknya yang dilihat masih lagi tinggi. Malah, Samsung MX (Mobile Experience) dan Qualcomm dilihat antara pelanggan Samsung Semiconductor yang terbesar yang masih lagi memerlukan komponen memori ini untuk digunakan bersama-sama cip pemprosesan kelas pertengahan dan mampu milik mereka.
Kelak, Samsung akan menghasilkan memori DDR5, HBM dan menambahkan kapasiti untuk pengeluaran memori LPDDR5 untuk peranti pengguna moden dan perkakasan AI yang dijangka akan menjana untung yang lebih besar untuk syarikat tersebut kelak.



