Samsung pernah menceburi bidang fon kepala bersaiz besar melalui model Level Over pada tahun 2014. Namun selepas itu, fokus mereka beralih sepenuhnya kepada siri Galaxy Buds sehingga timbul persepsi bahawa jenama ini tidak lagi menghasilkan fon kepala keluaran sendiri.

Kini, muncul laporan baharu yang menyebut bahawa Samsung berpotensi kembali ke segmen fon kepala premium dengan model berkod nama Galaxy H1. Ia dijangka hadir dengan sokongan Bluetooth 6.0 untuk sambungan lebih stabil serta latensi rendah, sekali gus meningkatkan pengalaman mendengar muzik.
Selain itu, Galaxy H1 akan menyokong SSC UHQ codec yang membolehkan audio dimainkan tanpa kehilangan kualiti sekali gus menyasarkan peminat audio berketepatan tinggi. Lebih menarik, ia turut dilengkapi teknologi pembatalan hingar aktif (ANC) untuk menjadikannya setara dengan pesaing utama seperti Sony WH‑1000XM6 dan AirPods Max 2.

Menurut sumber SamMobile, pelancaran dijangka sekitar tahun 2027. Kehadiran Samsung dalam segmen ini berpotensi memperluas pilihan premium, serta memberi cabaran baharu kepada dominasi Sony dan Apple dalam pasaran fon kepala mewah. Jika benar menjadi kenyataan, Galaxy H1 boleh menandakan kemunculan semula Samsung dalam dunia fon kepala kelas premium, serta meluaskan alternatif bagi pengguna dalam kategori mewah.
Sumber – GSMArena

