
Samsung Wallet dilancarkan hari ini secara rasmi bagi membenarkan pengguna peranti Samsung untuk menyimpan kad pengenalan, kad pembayaran, kunci, pas penerbangan dan banyak lagi kad fizikal secara digital. Februari lalu Samsung Wallet sekadar diumumkan ketika acara pelancaran Samsung Galaxy S22 dan Tab S8.

Dari segi ciri ia sama dengan Google Wallet dan Apple Wallet yang dilancarkan beberapa bulan yang lalu. Selain itu Samsung Wallet turut boleh digunakan untuk menyimpan aset digital seperti mata wang kripto pengguna dengan selamat. Teknologi Samsung Knox digunakan sebagai lapisan keselamatan. Integrasi SmartThings pula membolehkan kunci pintar yang digunakan di rumah turut disimpan dalam Samsung Wallet.
Bagi pemilik kereta BMW, Genesis, dan Hyundai pula, Samsung Wallet boleh digunakan sebagai kunci digital. Pada waktu ini Samsung Wallet diberikan kepada pengguna di Amerika Syarikat, Itali, Jerman,Perancis, Sepanyol dan United Kingdom terlebih dahulu sebelum ditawarkan ke lebih banyak pasaran.

