
KUALA LUMPUR – Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa serta-merta.
Pelantikan itu diumumkan menerusi kenyataan media yang dimuat naik di laman Presiden Abdul Hadi Awang sebentar tadi.
Menurut kenyataan tersebut, pelantikan dibuat susulan peletakan jawatan Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Mesyuarat Luar Biasa sebulat suara
Keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN yang berlangsung di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada jam 3 petang.
“Mesyuarat seterusnya dengan sebulat suara melantik YAB Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar sebagai Pengerusi PN yang baharu berkuat kuasa serta-merta,” menurut kenyataan berkenaan.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Presiden Bersatu, Muhyiddin Mohd Yassin; Presiden PAS, Abdul Hadi Awang; Presiden Gerakan, Dominic Lau Hoe Chai; serta Presiden MIPP, P. Punithan.
Difahamkan, mesyuarat berkenaan turut meluluskan peletakan jawatan Muhyiddin selaku Pengerusi PN sebelum ini.
“Adalah dimaklumkan mesyuarat meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin selaku Pengerusi PN berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026,” jelas kenyataan itu lagi.
Isu Ketua Pembangkang bakal dibincang
Dalam perkembangan berkaitan, kenyataan sama memaklumkan beberapa perkara lain akan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan datang.
Antara isu yang dijangka dibincangkan ialah kedudukan Ketua Pembangkang baharu di Parlimen.
Menurut laporan Bernama yang memetik Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, perkara itu melibatkan penggantian Hamzah Zainudin yang dipecat daripada Bersatu.
Setakat ini, PN belum mengumumkan sebarang keputusan rasmi berhubung pelantikan Ketua Pembangkang baharu. – The Malaysian Update
The post Samsuri Sah Pengerusi Baharu PN, Ganti Muhyiddin appeared first on The Malaysian Update.
