Samun bersenjata: Lelaki kena 15 tahun, sebatan

LocalPolitics
9 Aug 2025 • 12:36 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Cynthia D Baga

Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 24 tahun yang melakukan rompakan bersenjata dua kali di dua premis 24 jam dalam tempoh kurang 24 jam, dihukum penjara 15 tahun serta dikenakan enam kali sebatan rotan.

Asreen Arskan mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan terhadap dua pertuduhan dihadapinya pada Jumaat.

Bagi pertuduhan pertama, dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dikenakan tiga kali sebatan rotan kerana merompak seorang wanita berumur 34 tahun yang juga pekerja 7-Eleven di Telipok Ria, Tuaran, pada 17 Julai tahun ini pada jam 3.13 pagi, dan melarikan wang tunai RM67, menggunakan sebilah sabit.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Dia melakukan perbuatan itu bersama Mohd Hiesyamsuddin Baharudding, 26, yang turut mengaku bersalah dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun serta dikenakan tiga kali sebatan rotan.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Asreen dipenjara lagi lima tahun serta dikenakan tiga kali sebatan rotan kerana merompak seorang lagi pekerja 7-Eleven, lelaki berusia 19 tahun, sebanyak RM154.95 di pekan Tuaran, pada 18 Julai tahun ini, jam 1.23 pagi, dengan bersenjatakan sebilah parang.

Mahkamah memerintahkan Asreen menjalani hukuman penjaranya secara berturut-turut bermula dari tarikh sabitan pada Jumaat.

Semasa mitigasi, Asreen merayu hukuman ringan dengan mengatakan dia sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan pada masa akan datang. Dia juga memohon agar kedua-dua hukuman dijalankan serentak.

Sementara itu, Mohd Hiesyamsuddin juga merayu hukuman ringan dengan alasan ketika kejadian dia dalam keadaan terdesak dan mahu membantu ibunya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis memohon hukuman berat dikenakan mengambil kira beberapa faktor pemberat, antaranya mereka menggunakan senjata ketika merompak mangsa yang mengancam keselamatan awam.

Bryan memberitahu mahkamah, kesalahan dilakukan pada awal pagi ketika mangsa bersendirian. Masa dan lokasi kesalahan itu menunjukkan tertuduh sengaja menyasarkan mangsa yang mudah terdedah dalam situasi bantuan segera sukar diperoleh.

Beliau menambah, walaupun tiada kecederaan fizikal berlaku, mangsa berada dalam ketakutan melampau apabila berdepan individu bertopeng bersenjata, selain trauma psikologi yang dialami adalah besar dan perlu diambil kira.

Mahkamah dimaklumkan bahawa dalam kejadian pertama, Asreen yang memakai topi keledar, memasuki premis 7-Eleven dan mengugut pekerja wanita terbabit dengan sabit sambil mengarahkannya menyerahkan wang.

Wanita itu yang ketakutan menyerahkan wang tunai RM67 sebelum Asreen melarikan diri bersama Mohd Hiesyamsuddin yang menunggunya di luar premis dengan motosikal.

Dalam kejadian kedua, Asreen masuk ke premis 7-Eleven di Tuaran dan mengugut pekerja lelaki dengan parang sambil mengarahkannya menyerahkan wang kepadanya. Dia berjaya melarikan RM154.95 daripada pekerja itu.

Kedua-dua mangsa mengenal pasti Asreen dan Mohd Hiesyamsuddin sebagai individu yang menyamun mereka semasa kawad cam. Rakaman CCTV di premis terlibat turut merakam tindakan mereka.