Samy Vellu Bapa Penyatuan Masyarakat India - PM

LocalPolitics
15 Sep 2022 • 3:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ismail Sabri tiba di kediaman mendiang S Samy Vellu untuk memberikan penghormatan terakhir hari ini. - Gambar oleh Sairien Nafies

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mantan Presiden MIC, Tun S Samy Vellu layak digelar sebagai Bapa Penyatuan bagi masyarakat India.

Menurut Perdana Menteri, ini kerana mendiang Samy Vellu sebelum ini berjaya menyatukan masyarakat India di Malaysia, selain memperjuangkan nasib kaum itu.

“Dari segi masyarakat India, kita boleh menganggap Tun (Samy Vellu) merupakan bapa penyatuan kepada masyarakat India (di negara ini),” katanya ketika ditemui media selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Samy Vellu di kediamannya di Jalan Ipoh, di sini hari ini.

        View this post on Instagram                      

A post shared by Getaran (@getaranmy)

Beliau tiba di kediaman Samy Vellu pada 12.14 tengah hari dan meluangkan masa kira-kira 20 minit di situ.

Turut hadir bagi memberikan penghormatan terakhir ialah Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan,

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Samy Vellu meninggal dunia di kediamannya di sini, kira-kira 7 pagi tadi. Mendiang berusia 86 tahun.

Mendiang yang memimpin MIC dari 1981 hingga 2010 adalah antara pemimpin paling lama memegang jawatan dalam Kabinet, iaitu kira-kira tiga dekad bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Samy Vellu dan jasa mantan Presiden MIC itu akan terus dikenang.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang (Samy Vellu). Negara kehilangan pemimpin yang hebat, jasanya amat besar.

“Ia bukan sahaja kepada seluruh masyarakat India di Malaysia namun jasanya amat besar kepada negara dari segi pembangunan sepanjang menjadi Menteri Kerja Raya,” katanya. - Getaran, 15 September 2022