
SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) akan menjadi tuan rumah Sukan Kerajaan Tempatan Sabah (SKTS) ke-14 yang akan berlangsung pada 07 hingga 13 November ini di sekitar Sandakan.
Presiden MPS, Datuk Walter Kenson, berkata, kejohanan ini bakal menghimpunkan seramai 2,368 atlet dan pegawai, melibatkan 25 pihak berkuasa tempatan serta empat agensi kerajaan daripada lapan zon yang bertanding.
“Ia melibatkan 19 jenis sukan dan akan menggunakan 14 venue pertandingan sekitar daerah ini,” jelasnya.
Tambahnya, antara sukan yang dipertandingkan ialah bola sepak, badminton, olahraga, bola jaring, sepak takraw, futsal, bola tampar, boling padang, pickleball, e-sukan, dart, karom, snooker, tarik tali, boling tenpin, ping pong, golf dan gusti lengan.
Beliau berkata demikian pada satu kenyataan di sini pada Selasa.
Jelasnya, acara perasmian akan diadakan pada 7 November, jam 7.00 malam di Stadium Kompleks Sukan Sandakan manakala majlis penutupan akan diadakan pada 13 November 2026, jam 7.00 malam di Dewan Batu 5, di sini.
Kedua-dua majlis itu dijadualkan akan disempurnakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Sementara itu, Walter berkata, antara objektif penting penganjuran SKTS adalah untuk merancakkan ekonomi Sandakan.
Ujarnya, kehadiran 2,368 atlet dan pegawai juga dijangka meningkatkan permintaan terhadap hotel dan penginapan dengan 50 hotel dan premis penginapan telah dikenal pasti dalam maklumat penganjuran ini.
Ia turut dijangka akan memberi peluang pendapatan kepada pengusaha restoran, kedai makan, peniaga kecil dan penyedia pengangkutan setempat.
Walter menyeru masyarakat Sandakan untuk bersama-sama memeriahkan SKTS ke-14 dengan hadir memberikan sokongan kepada atlet yang bertanding.
“Mari kita sama-sama memberikan sokongan kepada atlet yang bertanding dan pada masa yang sama menunjukkan keramahan masyarakat Sandakan sebagai tuan rumah,” ujarnya.
Kemasukan orang awam adalah percuma, tertakluk kepada kapasiti venue dan arahan keselamatan.
Jadual terperinci pertandingan, senarai venue dan perkembangan kejohanan boleh dirujuk melalui portal rasmi SKTS14 di https://mps-apps.my/skts14/.


