Sanggup bekerja sampai lewat malam di pejabat, suami lari daripada tekanan rumah tangga?

LocalFamily & Parenting
23 Apr 2025 • 3:26 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Perkahwinan merupakan satu ikatan suci dan murni antara dua insan, yang dibina atas dasar kasih sayang, kepercayaan, dan tanggungjawab yang dipikul bersama demi membina kehidupan yang harmoni dan diberkati.

Namun begitu, akhir-akhir ini kita dapat menyaksikan pelbagai masalah rumahtangga yang timbul, khususnya melibatkan pasangan yang bekerjaya. Meskipun isu-isu ini kelihatan kecil pada zahirnya, namun ia memberi kesan mendalam kepada emosi dan kestabilan hubungan antara suami dan isteri.

Baru-baru ini, tular satu hantaran di media sosial yang menjadi perbualan hangat. Dalam hantaran tersebut, didakwa bahawa semakin ramai lelaki, khususnya yang sudah berumahtangga, lebih rela berada di pejabat hingga lewat malam dan sanggup bekerja lebih masa semata-mata kerana tidak mahu berdepan dengan isteri di rumah.

Paling mengejutkan, ada yang mengakui menyesal berkahwin dengan pasangan yang salah.

Rumah sebagai tempat kongsi kasih sayang

Situasi ini amat membimbangkan kerana seorang lelaki yang diangkat sebagai ketua keluarga sepatutnya menemukan ketenangan dan kasih sayang di rumah, bukan menjadikannya sebagai tempat yang ingin dielakkan. Rumah tangga seharusnya menjadi ruang untuk berkongsi kasih bersama isteri dan anak-anak, bukan medan tekanan yang memenatkan jiwa.

Namun begitu, kesalahan tidak harus diletakkan sepenuhnya di bahu suami. Dalam hantaran yang sama, turut dijelaskan beberapa sebab utama mengapa para suami mengambil keputusan untuk menjauhkan diri daripada rumah:

“Antara puncanya ialah tuntutan tidak munasabah daripada isteri, selain suami dipinggirkan dalam keputusan penting seperti pembelian rumah bernilai setengah juta ringgit walaupun hanya bergaji RM6,000 sebulan. Dalam banyak kes, bukan sahaja isteri, bahkan keluarga mentua turut mencampuri urusan rumah tangga dan memberi tekanan kepada suami.

“Terdapat juga kes di mana isteri kerap membandingkan suami dengan lelaki lain, terutamanya akibat pengaruh media sosial dan rakan-rakan perempuan mereka. Hal ini menyebabkan suami merasa rendah diri dan terbeban dengan harapan yang tidak realistik,” katanya.

Namun begitu, ramai menyarankan agar si suami berusaha untuk berkomunikasi dengan baik bersama pasangan. Ini kerana tekanan dan bebanan emosi yang dipendam dalam diam berpotensi membawa kepada keretakan yang lebih besar dalam rumah tangga.