Sanggup beli motosikal, alat ganti seludup demi sertai RXZ Members

LocalCars
6 Aug 2026 • 3:16 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sanggup beli motosikal, alat ganti seludup demi sertai RXZ Members

RANTAU PANJANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan mengenal pasti rampasan motosikal seludup terutama Yamaha RXZ dijalankan secara konsisten setiap tahun berikutan motosikal tersebut mempunyai permintaan daripada peminat untuk menyertai program perhimpunan RXZ Members.

Pengarahnya, Mohd. Hisham Mohd. Nor berkata, sepanjang tempoh enam bulan tahun ini, sebanyak 45 buah motosikal terpakai yang diseludup dari Thailand disita dengan 25 buah daripadanya terdiri daripada Yamaha RXZ bernilai RM3.6 juta termasuk duit dan cukai.

Katanya, rampasan itu dilakukan menerusi beberapa operasi yang dijalankan di Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor.

“Rampasan tertinggi melibatkan Yamaha RXZ iaitu sebanyak 25 buah manakala selebihnya merupakan motosikal jenis Kawasaki, Honda Click dan Yamaha TZR.

“Kita dapati rampasan motosikal seludup ini konsisten setiap tahun berkemungkinan ada permintaan daripada peminat Yamaha RXZ untuk menyertai RXZ Members,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM Rantau Panjang, di sini hari ini.

Mohd. Hisham berkata, siasatan mendapati, semua motosikal itu disyaki diseludup dari Thailand melalui pangkalan haram di Sungai Golok sebelum dijual kepada pelanggan.

Menurutnya, sindiket penyeludupan dipercayai menyimpan motosikal tersebut di pelbagai lokasi termasuk bengkel, kawasan perumahan dan tempat letak motosikal di ketiga-tiga negeri berkenaan.

“Motosikal seludup mendapat permintaan tinggi kerana ia dijual pada harga yang rendah sebelum dibaiki semula. Selepas proses pembaikan dijalankan, sesebuah motosikal tersebut boleh dijual pada harga berlipat kali ganda kepada pelanggan. Selain itu, alat ganti Yamaha RXZ seludup turut dijual kerana ia mempunyai permintaan  tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata, rampasan semua motosikal itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1957. – UTUSAN

The post Sanggup beli motosikal, alat ganti seludup demi sertai RXZ Members appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved