Sanggup berhabis ratusan ringgit demi kemeriahan lampu raya

15 Mar 2026 • 1:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kanak-kanak di Kampung Sungai Ular antara yang paling gembira apabila kawasan perkampungan mereka diterangi cahaya lampu berwarna-warni hasil inisiatif penduduk setempat.
image is not available
Kreativiti penduduk Kampung Sungai Ular menghias kediaman dengan limpahan lampu LED berwarna-warni bukan sahaja menceriakan suasana malam sepanjang Ramadan.
image is not available
Selain rumah, basikal turut menjadi subjek kreatif untuk dihias bagi membangkitkan aura kemeriahan malam tujuh likur di kampung tersebut.

KUANTAN – Sanggup berhabis ratusan ringgit semata-mata mahu melihat halaman rumah bercahaya dengan lampu ‘lip-lap’.

Itu antara usaha dilakukan penduduk Kampung Sungai Ular di sini bagi menyahut pertandingan lampu raya anjuran Surau Pok Long Sohor yang menceriakan persekitaran kampung sepanjang Ramadan.

Seorang penduduk, Mohd Azrul Ariffin, 42, mengakui tidak kisah mengeluarkan lebih RM300 untuk membeli pelbagai jenis lampu diod pemancar cahaya (LED) secara dalam talian bagi menghias kediamannya.

“Tahun ini semua adik-beradik akan berkumpul di sini, jadi kami buat keputusan untuk menghias suasana rumah supaya lebih meriah.

“Kebetulan pihak surau menganjurkan pertandingan ini, jadi kami ambil kesempatan untuk menghias rumah menggunakan pelbagai jenis lampu LED dan hiasan lain,” katanya pada Sabtu.

**media[3464078]**

Nurul Syahirah Mat Rahim, 30, berkata, dia dan suami, Suhanizam Saman, 36, turut mengambil bahagian dalam inisiatif tersebut.

Jelasnya, penyertaan itu bertujuan memeriahkan suasana kampung menjelang Aidilfitri.

“Kami sertai bukan sebab mahu dapatkan kemenangan, sebaliknya hanya mahu merasai suasana meriah itu sendiri.

“Tambahan pula tahun ini ada sedikit duit lebih untuk membeli lampu-lampu ini,” kongsinya.

Sementara itu, Pengerusi Surau Pok Long Sohor, Jamnan Wahid berkata, pertandingan yang julung kali diadakan itu mendapat penyertaan kira-kira 60 buah rumah.

Menurutnya, penganjuran pertandingan berkenaan antara usaha menghidupkan kembali tradisi memasang pelita pada malam tujuh likur dalam kalangan masyarakat.

“Selain menceriakan suasana kampung, lampu-lampu yang dipasang juga memudahkan jemaah berjalan kaki ke surau untuk menunaikan solat tarawih,” katanya.

**media[3464079]**

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Ular, Tajuddin Mokhtar berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja menambah keceriaan kawasan kampung, malah mengeratkan hubungan antara penduduk.

Ujarnya, aktiviti seperti itu memberi peluang kepada penduduk bergotong-royong dan meluangkan masa bersama keluarga bagi menghias rumah masing-masing.

“Secara tidak langsung ia mewujudkan suasana lebih meriah dan harmoni dalam kalangan penduduk, selain memberi kegembiraan kepada kanak-kanak yang dapat menikmati keindahan lampu-lampu yang dipasang di sekitar kampung sepanjang Ramadan.

“Usaha seperti ini juga membantu menghidupkan suasana tradisi menjelang Aidilfitri serta menggalakkan lebih banyak aktiviti komuniti di kampung,” katanya.

View Original Article