
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Setiap individu yang beragama Islam sering diingatkan agar menjaga kehormatan diri dan batas pergaulan dalam kehidupan seharian.
Namun sejak belakangan ini, ada segelintir khususnya lelaki dan wanita bukan mahram dilihat tidak menjaga diri dengan duduk berdua-duaan di tempat tidak sepatutnya hingga boleh menimbulkan fitnah.
Lebih mengejutkan apabila ada segelintir yang ‘ditangkap’ oleh pihak Jabatan Agama Negeri dek kerana perbuatan mereka itu.
JAINJ Cekup Pasangan Kekasih Berstatus Suami & Isteri Orang, Ambil Masa 15 Minit Buka Pintu Hotel
Terbaharu, pasangan kekasih berstatus suami dan isteri orang dicekup di sebuah hotel di Kluang, Johor oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat.
Apa yang menjadi perhatian adalah kedua-dua individu terbabit sanggup meredah perjalanan sejauh 600 kilometer dari negeri di utara dengan menaiki motosikal datang ke selatan tanah air.
Lelaki yang berusia sekitar 50-an manakala wanita yang berusia 40-an merupakan antara empat pasangan yang ditangkap oleh JAINJ dalam operasi pencegahan maksiat semalam (11 Januari).
Jelas JAINJ, penguatkuasa terpaksa menunggu selama 15 minit kerana pasangan berkenaan enggan membuka pintu bilik hotel.
“Penguatkuasa terpaksa ke kaunter untuk mendapatkan kunci pendua. Namun, pasangan itu pula mengunci dari dalam menggunakan kekunci rantai.
“Sebaik berjaya memasuki bilik hotel, mereka kelihatan berpakaian lengkap namun wajahnya dalam keadaan menggelabah sebelum mengaku bukan suami isteri,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Sewa Bilik Hotel Sama Kerana Mahu Berjimat
Jelas JAINJ, pasangan tersebut mengaku tidak melakukan perkara yang tidak elok malah memilih untuk menyewa bilik yang sama kerana mahu berjimat.
“Ketika pemeriksaan, terdapat cadar dijadikan tilam di lantai serta bantal. Lelaki itu memberitahu dia tidur di bawah manakala wanita, atas katil.
“Mereka juga mengaku tidak melakukan perkara tidak baik dan hanya tidur berasingan. Pasangan itu juga memberitahu mereka menyewa bilik berdua kerana mahu berjimat,” jelasnya.
Serbuan Berasingan Libatkan Duda & Anak Dara
Dalam pada itu, dalam serbuan di bilik hotel berasingan, JAINJ berjaya menahan pasangan berusia 30-an melibatkan duda dan wanita bujang.
“Pasangan ketiga membabitkan lelaki berusia 20-an yang masih bujang manakala wanita berusia 20-an. Wanita ini datang dari Muar untuk menghadiri majlis perkahwinan rakannya di Kluang.
“Lelaki pula datang ke bilik untuk menemani wanita ini yang dikatakan kesunyian kerana tinggal berseorangan. Pasangan terakhir ditahan ialah berusia 20-an yang mana mereka sudah merancang bertemu selepas dapat gaji.
“Kesemua mereka ditahan diambil keterangan dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997,” jelasnya lagi.
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Bujang Ditangkap Khalwat Bersama Wanita Mengandung Di Johor
Baca Artikel Berkaitan: Wanita Status Isteri Orang ‘Kantoi’ Berkhalwat Dengan Kekasih Muda Di Inap Desa




