Sanggup terjun sungai, sorok celah bot

12 Jun 2026 • 8:49 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sanggup terjun sungai, sorok celah bot
Mohd Zaini (dua dari kiri) meninjau tangkapan warga asing menerusi operasi yang digerakkan di sekitar Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Image from: Sanggup terjun sungai, sorok celah bot
Mohd Zaini (tengah) ketika ditemui pemberita selepas operasi bersepadu di perkampungan nelayan Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam pada Jumaat.
Image from: Sanggup terjun sungai, sorok celah bot
Operasi bersepadu yang digerakkan bermula Khamis melibatkan lapan agensi penguat kuasa bertindak menahan 79 warga asing.
Image from: Sanggup terjun sungai, sorok celah bot
Seorang warga Myanmar bertindak terjun ke muara sungai selepas menyedari serbuan pihak berkuasa pada Jumaat.
Image from: Sanggup terjun sungai, sorok celah bot
Antara warga asing yang ditahan selepas bersembunyi di bawah jeti di perkampungan nelayan Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam pada Jumaat.

SABAK BERNAM - "Terjun sebab takut. Saya fikir nak lepaskan diri sahaja."

Itu kata seorang lelaki warga Myanmar selepas tindakannya terjun ke muara sungai untuk melarikan diri daripada dicekup pihak berkuasa di perkampungan nelayan Bagan Nakhoda Omar di sini pada Jumaat.

Dalam insiden itu, lelaki berusia lingkungan 30-an itu pada awalnya melompat ke kawasan bakau dari tempat rehat di jeti kawasan terbabit.

Dia kemudian terus meluru ke dalam sungai dan menyelam beberapa kali serta bersembunyi di celah bot kononnya dapat mengelak diri dikesan polis.

**media[3548404]**

Selepas kira-kira 20 minit berada di dalam sungai, akhirnya lelaki itu menyerah dan ditahan bersama rakan warga asing yang lain.

"Saya kerja nelayan di sini sudah dua tahun. Dulu masuk ke sini ikut jalan belakang, bayar RM3,000.

"Saya tak ada pasport...tadi tengah tidur, terkejut tiba-tiba ada operasi," katanya.

Operasi diselaras Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor itu digerakkan lapan agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

**media[3548406]**

Serbuan itu turut menyaksikan beberapa cubaan warga asing turut bertindak terjun ke dalam sungai selain menyorok di bawah jeti.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan berkata, operasi di Bagan Nakhoda Omar dan sekitar Kuala Selangor bermula Khamis bertindak menahan 79 warga asing termasuk 10 wanita berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun.

Menurutnya, mereka yang ditahan membabitkan warga Indonesia, Thailand, Myanmar, Bangladesh, India serta Pakistan.

**media[3548402]**

Katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah pemerdagangan manusia, penyeludupan migran, menggaji dan melindungi warga asing, tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal melebihi tempoh, penyalahgunaan pas lawatan serta kemasukan melalui laluan tidak sah.

"Selain itu, polis turut menahan 28 warga Indonesia yang dikesan masuk ke dalam negara secara haram melalui perairan Sabak Bernam.

"Tujuh warga tempatan disyaki tekong juga ditahan bagi tindakan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Tambahnya, operasi di perkampungan nelayan itu turut menemukan dua kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 membabitkan minyak diesel.

**media[3548405]**

Kata Mohd Zaini, operasi bersepadu tersebut akan diteruskan secara berfasa dan berterusan sebagai langkah pencegahan selain penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan perairan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

“Pihak berkuasa juga ingin mengingatkan orang awam dan majikan agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti melindungi pendatang asing serta aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Kita mengalu-alukan orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut, keselamatan negara tanggungjawab bersama," ujarnya.