KOTA TINGGI – Tindakan dua penuntut menipu keluarga dengan alasan menyertai program di institusi pengajian tinggi (IPT) membawa padah apabila mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat di sebuah bilik hotel di Desaru, di sini, malam minggu.
Jurucakap Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berkata, pasangan berusia 19 tahun itu sepatutnya pulang ke kampung halaman sempena cuti umum.
Namun, mereka dipercayai memberi alasan perlu menghadiri program IPT, sebaliknya meluangkan masa bersama di hotel sebelum ditahan pihak berkuasa.
Menurutnya, penguat kuasa JAINJ menjalankan pemeriksaan di beberapa hotel sekitar Desaru, Kota Tinggi bersempena cuti hujung minggu.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, pada mulanya pasangan itu enggan membuka pintu sebelum seorang wanita membuka pintu dalam keadaan berbaju-T labuh tanpa seluar.
“Wanita berkenaan mendakwa rakannya berada di dalam tandas, namun pemeriksaan lanjut menemukan seorang lelaki yang tidak berpakaian.
“Hasil siasatan mendapati mereka bukan suami isteri, sebaliknya masih bujang dan merupakan penuntut IPT di Kota Tinggi.
“Pada awalnya mereka hanya berkawan sebelum hubungan menjadi lebih rapat,” katanya menerusi perkongsian video di Facebook.
Beliau berkata, ibu bapa kedua-dua penuntut terbabit hadir untuk menjadi penjamin selepas mereka ditahan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat,” katanya.






