
Demi menjadi yang pertama memiliki model terbaharu Apple iaitu iPhone 14, seorang lelaki sanggup menempuh jarak lebih seribu batu dari Kerala, India ke Dubai, UAE ekoran model itu belum dipasarkan di negerinya.
Seperti yang dilapor The Independent, lelaki yang bernama Dheeraj Palliyil itu sanggup membelanjakan sebanyak RM2,300 untuk membeli tiket penerbangan ke Dubai.
“Setiap perjalanan yang saya harungi ia melibatkan mental khususnya emosi saya.
“Ia memberi perasaan istimewa untuk berada dalam bilik pameran, menjadi yang pertama memiliki telefon ketika yang lain masih menunggu untuk membeli,” ujarnya ketika meluahkan perasaan membeli iPhone 14 tersebut.
Difahamkan, khabarnya pembelian barang di Dubai seperti itu sudah sebati dengan dirinya dan menjadi satu kebiasaan sejak dahulu lagi.
“Ia sudah menjadi satu amalan sekarang kerana saya membeli iPhone 14 dari kedai yang sama,” jelasnya ketika menjelaskan cara dia memperingati Jobs, bekas Ketua Eksekutif Apple yang meninggal dunia pada 2011.
Mula ‘bermusafir’ ke Dubai demi iPhone sejak 2017

Palliyil yang menggambarkan dirinya sebagai peminat tegar Steve Jobs berkata, dia mula melancong ke Dubai untuk membeli iPhone sejak 2017.
“Saya mula melancong ke Dubai untuk membeli iPhone terbaharu dari 2017 apabila iPhone 8 dilancarkan pada ketika itu,” katanya memetik The Independent.
Umum mengetahui keluaran terbaharu jenama Apple kebiasaanya akan mula terjual awal berbanding di negara lain.
Oleh itu, ramai yang merantau seperti Palliyil untuk menjadi orang terawal yang membeli iPhone terbaharu itu.
Palliyil menjelaskan sebelum ini biasanya model terbaharu iPhone dikeluarkan di Dubai beberapa minggu lebih awal sebelum mula dijual di India.
Palliyil berkata, walaupun model terbaharu dikeluarkan dan dijual dengan harga yang sama di India iaitu RM7,300, namun perkara itu tidak menghalang peminat iPhone untuk membelinya di tempat lain.
Ditegur keluarga jangan membazir
Walaupun keluarganya sebelum ini menegurnya kerana membazirkan wang untuk barangan mewah, namun kini mereka mengalah.
“Mereka pernah memberitahu saya bahawa ia tidak berbaloi membelanjakan begitu banyak wang kerana model terbaru akan dikeluarkan di India dalam masa 10 hingga 15 hari.
“Tetapi kini mereka menyedari bahawa ini adalah keghairahan dan ini cara saya untuk menghormati Steve Jobs,” jelas Palliyali mengenai fahaman keluarganya terhadap hobinya.
Tambahnya, keluarganya telah menunjukkan sokongan mengenai hobinya dengan mengingatkannya mengenai pelancaran model terbaharu Apple.
“Malah merekalah yang memaklumkan kepada saya tentang pelancaran iPhone baharu dan bertanya kepada saya bila saya akan terbang ke Dubai untuk membelinya.
“Mereka semua menyokong saya dengan baik dan itu sangat hebat,” katanya lagi.
Pengarah perundingan digital Dare Picture berkata pihaknya turut melakukan penjualan bagi model terbaharu di India termasuk model yang berikutnya iaitu iPhone 11 Pro Max, iPhone 12 dan iPhone 13.
Sumber: The Independent
The post Sanggup ‘Travel’ Dari India Ke Dubai, Nak Jadi Orang Pertama Beli iPhone 14 appeared first on Siakap Keli.

