Sanusi didakwa di dua Mahkamah Sesyen Selayang esok?

17 Jul 2023 • 7:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhammad Sanusi

SELAYANG - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dijangka didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Ia dipercayai didakwa berhubung kenyataan mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besarnya.

Menerusi semakan laman mahkamah, terdapat nama Muhammad Sanusi Md Nor yang akan didakwa di Mahkamah Sesyen Satu dan Dua Selayang, di hadapan Hakim, Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh.

Sementara itu, kandungan ucapan ceramah Muhammad Sanusi yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mendapat perhatian baginda.

Pada Isnin, baginda berkenan menerima menghadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan di sini.

Menerusi kemas kini di Selangor Royal Office, pertemuan tersebut diadakan secara berasingan bagi membincangkan mengenai kenyataan yang dikeluarkan Muhammad Sanusi.

Nama Muhammad Sanusi hangat diperkatakan susulan kandungan ceramah yang didakwa meremehkan baginda berkenaan urusan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ucapan Muhammad Sanusi itu telah dimuat naik di banyak saluran media sosial seperti YouTube, TikTok, Facebook serta Twitter.

Susulan itu, beberapa laporan polis telah dibuat mendesak Menteri Besar Kedah itu yang juga Pengarah Pilihan Raya PN disiasat dan diambil tindakan tegas.

Muhammad Sanusi turut memaklumkan pihaknya telah mengutus surat kepada Sultan Selangor bagi menjelaskan konteks sebenar ucapannya yang didakwa diputar belit.

Ujarnya, Pegawai Istana Selangor memaklumkan kepadanya bahawa Sultan Selangor memberi perkenan untuk menerima dan membaca surat berkenaan pada Jumaat.

Sebelum itu, Muhammad Sanusi dalam ucapannya ketika berceramah di Selangor baru-baru ini dikatakan telah mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan menteri besar.

Pada Jumaat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima 31 laporan polis di seluruh negara membabitkan Muhammad Sanusi.

Polis kemudian membuka kertas siasatan membabitkan Muhamad Sanusi pada Rabu lalu sebelum keterangannya direkod dua hari kemudian.

Susulan itu, pada Sabtu, Muhammad Sanusi melalui satu hantaran di Facebooknya memaklumkan telah mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kenyataan itu.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) berkata, beliau mengutuskan warkah kepada Sultan Selangor untuk menjelaskan maksud sebenar ucapannya dalam satu ceramah.

Beliau turut mendakwa bahawa ucapannya pada hari tersebut diputar belit oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.