Sanusi hadir ke SPRM pagi ini?

11 Jan 2024 • 10:18 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sanusi

PUTRAJAYA - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dipercayai hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pagi Khamis.

Difahamkan beliau tiba sekitar jam 8.30 pagi dan proses merakamkan keterangan sedang berlangsung.

Sinar Harian sedang menghubungi pegawai beliau untuk mendapatkan pengesahan.

Sebelum ini media melaporkan SPRM menjalankan siasatan kes rasuah berkaitan rasuah lebih RM6 juta yang dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Menurut sumber siasatan dilakukan selepas suruhanjaya itu menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan memperoleh projek di Kedah jika menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak negeri itu.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, terdapat individu penting berjawatan tinggi dalam kerajaan negeri dan persatuan bola sepak itu berjanji akan memberikan projek pembinaan serta perkhidmatan sebagai balasan kepada kontraktor yang menyumbang dana.

Jumaat minggu lalu, empat individu ditahan reman bagi membantu siasatan dalam kes meminta dan menerima rasuah lebih RM6 juta pada 2020.

Wang itu dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di Kedah.