
ALOR SETAR: Kerajaan Kedah yakin mampu mencapai sasaran hasil tahunan RM1 bilion atau ‘Towards 1 Billion’ (T1B) dalam tempoh tiga tahun akan datang, dengan pelbagai inisiatif yang bakal diterokai dan dikuatkuasakan dalam masa terdekat.
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (gambar) berkata kerajaan negeri sentiasa komited untuk memenuhi setiap keperluan rakyat walaupun ia memerlukan dana yang tinggi, dan hasil yang mencukupi sangat diperlukan bagi merealisasikannya.
“Buat masa ini, hasrat itu masih sukar untuk direalisasikan sepenuhnya memandangkan kutipan hasil negeri agak terhad. Tetapi usaha perlu digerakkan oleh semua jabatan dan agensi bagi memastikan kutipan hasil sekurang-kurangnya RM1 bilion setahun itu dapat diperolehi.
“Pendapatan tambahan berjumlah RM300 juta, berbanding RM724 juta hasil yang diunjurkan untuk tahun ini, itu boleh direalisasikan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang,“ katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Bersama Penjawat Awam Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Beliau berkata Kedah merekodkan pelaburan RM21 bilion untuk sembilan bulan pertama 2023, melonjak 75 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2022 dan daripada jumlah itu, RM19.38 bilion adalah pelaburan langsung asing, manakala baki RM1.64 bilion adalah pelaburan domestik.
“Pencapaian itu sejajar dengan sasaran kerajaan negeri untuk menarik pelaburan minimum berjumlah RM10 bilion setahun di bawah Pelan Induk Kedah 2035,“ katanya. -Bernama

