Sanusi nafi dakwaan miliki banglo mewah di Sik

11 Jul 2023 • 4:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar sebuah banglo di Sik yang dikaitkan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang tular di media sosial pada Isnin.

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan beliau ada kaitan dengan foto sebuah banglo di Sik seperti ditularkan di media sosial pada Isnin.

Muhammad Sanusi berkata, foto lengkap dengan imej google map itu cuba digambarkan ada kaitan dengannya hingga timbul tanggapan kononnya banglo itu miliknya.

Beliau menegaskan, foto sedang ditularkan oleh pemfitnah dan pendengki di serata media sosial itu adalah tidak benar dan fitnah semata-mata.

"Pemfitnah-pemfitnah ini bekerja keras menjelang Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) untuk mempengaruhi orang ramai percaya saya kini hidup kaya raya hingga mampu membina rumah seperti itu.

"Rumah itu bukan milik saya. Tidak ada wang saya diguna untuk bina rumah itu walau satu sen,"katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Muhammad Sanusi menjelaskan kediaman itu adalah milik orang lain yang dibina hasil titik peluhnya sendiri setelah bekerja keras selama puluhan tahun.

"Selama ini, pemilik kediaman itu mengumpul wang bekerja sebagai penyelam di dasar laut hingga terpaksa tinggalkan isteri dan anak-anak hingga tiga atau empat bulan sekali baru boleh balik ke rumah.

"Bukan sekali dua tetapi banyak kali ketika isterinya bertarung nyawa melahirkan anak, si suami pula sedang bertarung dengan yu dan jerung di dasar laut. Mereka suami isteri, termasuk anak-anak telah banyak berkorban selama ini," katanya.

Beliau melahirkan rasa sedih ada pula orang yang dengki dan sakit hati hingga tergamak menjaja fitnah konon rumah itu bukan milik mereka tatkala sampai masa untuk mereka mengecap sedikit kegembiraan dapat masuk rumah yang baru siap.

"Apa salah mereka kepada kalian?Kumpul duit setelah berpuluh tahun kerja mempertaruhkan nyawa dalam keadaan begitu bahaya untuk memberikan sedikit kegembiraan kepada ahli keluarga, adakah salah?," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, pemilik rumah itu bukan orang politik,malah tidak ada kena mengena dengan politik ataupun pilihan raya.

Beliau mempersoalkan mengapa pemilik rumah dijadikan mangsa seolah-olah rumah itu dibina dengan duit haram sedangkan dia telah lama bekerja keras mencari rezeki hasil titik peluhnya sendiri.

Soal Muhammad Sanusi lagi, apa salah pemilik kediaman itu kepada semua hingga tidak berkira kira langsung menyebar fitnah sedangkan tidak kenal pun siapa pemilik rumah itu.

"Adakah salah juga dia ada pertalian darah dengan saya, dilahirkan sebagai abang saya? Adakah kerana dia abang saya, dia tidak boleh bina rumah besar walaupun dia ada duit dan mampu untuk bina rumah seperti itu?," katanya.

Beliau berkata, begitu mudah sungguh ada pihak buat persepsi sedangkan persepsi itu bukanlah realiti.

"Antara kalian ada yang tidak pernah lalu malah tidak tahu pun rumah itu di mana. Orang Sik rata-ratanya tahu rumah itu rumah abang Sanusi, bukan Sanusi.

"Sebagai adik, saya tahu abang saya sudah lama bekerja keras untuk membahagiakan keluarganya," katanya.

Kata Muhammad Sanusi, abangnya bukan hanya berhati cekal, kuat kerja dan berdisiplin,malah mempunyai kesanggupan yang sangat tinggi untuk meningkatkan taraf hidup.

Menurut beliau, abang juga bijak menguruskan wang dan membeli harta dan dia sendiri kagum dengan pengorbanan dan kesanggupannya.

"Abang saya menguruskan hidup dengan disiplin dan kualiti yang tinggi, jauh meninggalkan macai-macai politik yang hati mereka sentiasa diselubungi dendam, marah dan benci.

"Mereka dengan mudah menyebar fitnah untuk mendapat sedikit habuan atau memuaskan dendam kesumat yang lama terpendam. Mereka seperti lalat penghurung tahi yang kotor lagi jijik," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, individu yang menyebarkan perkara itu bersiap sedialah kalian semua untuk menjawab di dunia dan akhirat atas dosa telah disebarkan.