Sapura Industrial Bekerjasama Dengan Syarikat China, ZZ Tech, Hasilkan Komponen Bateri EV

LocalTechnology
21 May 2025 • 2:00 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Sapura Industrial Berhad (SIB), salah satu pengeluar komponen automotif terbesar di Malaysia, kini melangkah masuk ke sektor baharu menerusi usaha sama dengan syarikat China, Zhejiang Zhongze Precision Technology Co. Ltd (ZZ Tech).

Kerjasama ini menyaksikan SIB buat pertama kalinya menyertai industri komponen bateri, bermula dengan pengeluaran komponen struktur berketepatan tinggi bagi bateri litium.

Selari Pelan Mobiliti Masa Depan Negara

Langkah ini selari dengan strategi SIB untuk mempelbagaikan portfolio perniagaannya di luar industri automotif dan menembusi sektor penyimpanan tenaga. Ia juga seiring dengan matlamat negara di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan peralihan global ke arah teknologi bersih serta kenderaan elektrik (EV).

Bantu Bekalkan Komponen untuk EV Pertama Perodua?

image is not availableimage is not available

Melalui kerjasama ini, ZZ Tech akan menyumbangkan kepakaran dalam bidang pembuatan komponen berketepatan tinggi untuk bateri tenaga baharu, termasuk teknologi yang biasa digunakan dalam kenderaan elektrik serta sistem penyimpanan tenaga berskala besar iaitu jenis ‘blade’ dan silinder.

Sumber industri sebelum ini mengaitkan ZZ Tech sebagai salah satu pembekal kepada peneraju global teknologi bateri, Contemporary Amperex Technology Co. Ltd (CATL). Untuk makluman, CATL juga merupakan rakan teknologi bagi model EV pertama keluaran Perodua yang dijangka diperkenalkan pada tahun ini.

Walaupun SIB dan ZZ Tech tidak menyebut nama Perodua secara langsung dalam pengumuman rasmi usaha sama mereka, kerjasama ini dilihat sejajar dengan aspirasi pengeluar automotif nasional kedua itu.

Sekiranya hubungan ini benar-benar berkait dengan perancangan EV Perodua, SIB dijangka bakal memainkan peranan penting dalam pembinaan rantaian bekalan komponen EV tempatan, satu langkah strategik ke arah ekosistem mobiliti masa hadapan negara.

SIB Rakan Pengeluar Berkualiti Tinggi

image is not available

Presiden Bahagian Industri SIB, Fazal Othman Mohd Ghazal berkata kerjasama ini membuktikan keupayaan syarikat dalam sektor kejuruteraan berketepatan tinggi yang melangkaui industri automotif.

“Ini satu pengiktirafan terhadap kekuatan kami sebagai rakan pengeluar dipercayai, bukan sekadar dalam automotif tetapi juga dalam sektor teknologi tinggi lain,” katanya.

Naib Presiden ZZ Tech, Li Xin pula menyatakan keterujaan untuk membawa kepakaran bateri mereka ke Malaysia bersama SIB dan mengakui kelebihan SIB dari segi pemahaman pasaran tempatan dan keupayaan pengilangan.

Fasa Baharu Pasca Penstrukturan Semula Sapura

Usaha sama ini juga mencerminkan hala tuju baharu SIB selepas ia beroperasi sebagai entiti bebas daripada kumpulan Sapura Group. SIB turut memperkenalkan logo baharu yang melambangkan identiti serta fasa transformasi syarikat.

Dengan gabungan kekuatan teknikal kedua-dua pihak, SIB dan ZZ Tech kini bersedia memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap komponen EV dan sistem penyimpanan tenaga di peringkat tempatan serta serantau.