BATU PAHAT – Sarapan yang disediakan ibunya menjadi hidangan terakhir buat Mohamad Shahrul Azizi Sa’adon, 29, sebelum maut dalam kemalangan di Jalan Bukit Kelicap, Tanjung Laboh di sini kira-kira jam 7.30 pagi pada Jumaat.
Mangsa meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya dirempuh lori muatan makanan sejuk beku yang dipercayai terbabas di laluan berkenaan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Ibunya, Samsiah Kassan, 67, berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu keluar rumah seperti biasa selepas bersarapan sebelum bertolak ke tempat kerjanya.
“Arwah sempat makan sarapan yang saya sediakan sebelum keluar bekerja. Selepas itu dia keluar seperti biasa dan saya tidak sangka itu kali terakhir saya melihatnya masih bernyawa.
“Biasanya arwah selalu masak lebih untuk dibawa dan dijamu kepada rakan-rakan di tempat kerja. Tetapi hari itu hati saya tergerak untuk memasak untuknya,” katanya di rumahnya di Kampung Parit Simpan, Senggarang.
Samsiah berkata, selepas anaknya keluar rumah, dia meneruskan rutin seperti biasa sebelum menerima satu panggilan telefon yang memaklumkan mengenai kemalangan berkenaan.
Lebih menyedihkan, Samsiah memberitahu kemalangan yang meragut nyawa anaknya berlaku hanya beberapa meter dari kilang tempat Allahyarham bekerja.
**media[3645126]**
Katanya, selama ini dirinya sudah terbiasa melihat kelibat anaknya pulang dari tempat kerja pada setiap petang.
“Setiap petang saya akan tersenyum gembira apabila nampak arwah balik dari kerja. Itu sudah menjadi rutin saya.
“Semalam anak saya pulang juga, tetapi bukan lagi sebagai seorang anak yang membuka pintu rumah seperti biasa. Dia pulang dalam keadaan jenazah.
“ALLAH pinjamkan arwah kepada saya untuk seketika. Saya reda dengan pemergiannya,” katanya dalam keadaan sebak.
Jenazah Mohamad Shahrul Azizi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Simpan, Senggarang selepas solat Jumaat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan maut itu berlaku kira-kira jam 7.30 pagi di Kilometer 116, Jalan Johor Bahru-Melaka.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika motosikal ditunggang mangsa dari arah Senggarang menuju ke Tanjung Laboh.
“Apabila tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa berada di laluannya sebelum tiba-tiba berlaku kemalangan dengan sebuah lori dari arah bertentangan yang dipercayai hilang kawalan.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal berusia 29 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak klinik kesihatan," ujarnya.
Menurut Shahrulanuar Mushaddat lelaki tempatan berusia 47 tahun yang memandu lori, mengalami kecederaan di bahagian pinggul.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya.




