Sarawak akan muktamadkan perjanjian pegangan Affin Bank dalam tempoh sebulan, kata Abang Johari

LocalBusiness & Finance
30 Jul 2024 • 5:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sarawak akan muktamadkan perjanjian pegangan Affin Bank dalam tempoh sebulan, kata Abang Johari

herman

30/07/2024 - 17:35

KUALA LUMPUR 30 Julai - Kerajaan Sarawak dijangka memuktamadkan perjanjian jual beli (SPA) dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk meningkatkan pegangannya dalam Affin Bank dalam tempoh sebulan, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sehingga 29 Disember 2023, Sarawak memegang 4.79% kepentingan dalam Affin Bank, dan kerajaan negeri menyasarkan untuk meningkatkan pegangan sahamnya dalam bank itu kepada kira-kira 30%, menjadikannya pemegang saham utama.

LTAT kini merupakan pemegang saham terbesar Affin Bank dengan 28.88% kepentingan, diikuti Bank of East Asia Ltd yang berpangkalan di Hong Kong dengan 23.93%.

“Bank Negara Malaysia telah pun memberikan kelulusan bersyaratnya, dan perjanjian itu dijangka dimuktamadkan dalam tempoh sebulan.

image is not available
Abang Johari Tun Openg menerima Anugerah Kepimpinan Teknologi MBOT sempena acara ENTICE di Putrajaya yang disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan inovasi, Chang Lih Kang. - Gambar MBOT


“Ia adalah proses teknikal yang sangat kecil, dan kami perlu mematuhi keperluan kawal selia,” kata Abang Johari seperti dilaporkan Bernama.

Premier Sarawak itu berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Malaysian Board of Technologists (MBOT) Experts Network in Technology, Innovation and Cooperative Event (ENTICE) di Putrajaya hari ini.

Pada majlis itu, MBOT dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menganugerahkan Abang Johari dengan Anugerah Kepimpinan Teknologi MBOT atas sumbangan besar beliau dalam membawa transformasi kepada Sarawak.

Menurut laporan sebelum ini, kerajaan negeri Sarawak dan LTAT pada mulanya ditetapkan untuk menandatangani SPA, bagaimanapun, rancangan itu ditangguhkan sementara menunggu kelulusan kawal selia. - DagangNews.com