
Menteri Kesihatan ke Kuching, Sarawak untuk runding autonomi kesihatan
Sarawak Bincang Hak Autonomi Penuh Sektor Kesihatan. Timbalan Premier Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian mengumumkan bahawa satu mesyuarat antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak akan diadakan minggu hadapan.
Perkara tersebut adalah untuk menyelesaikan butiran terperinci mengenai perjanjian bagi menyerahkan autonomi dan kawalan penuh sektor kesihatan kepada Sarawak.
Menteri Kesihatan Persekutuan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad akan datang ke Kuching untuk perbincangan tersebut. Menurut Dr Sim, perjanjian prinsip antara Putrajaya dan Sarawak telah pun dicapai, cuma pelaksanaannya belum dilakukan. Beliau menegaskan agar pelaksanaan autonomi dan kawalan diselesaikan dengan segera.
Menurut sumber, pada tahun lalu, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju secara prinsip untuk memberi Sarawak autonomi penuh dalam hal ehwal pendidikan dan kesihatan. Langkah ini disifatkan penting dalam menyelesaikan isu hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
Autonomi kesihatan dan pendidikan manfaatkan rakyat Sarawak
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Hal Ehwal Sarawak dan Sabah Datuk Seri Fadillah Yusuf menyatakan bahawa persetujuan prinsip telah dicapai dan butiran pelaksanaannya sedang digarap. Autonomi kuasa ini akan membolehkan Sarawak mengawal pembangunan pendidikan dan kesihatan.
Sebelum ini, kelewatan projek kesihatan persekutuan di Sarawak kerana proses birokrasi yang panjang tetapi dengan autonomi ini, keputusan dan agihan dana pembangunan dapat dipercepat. Oleh itu, autonomi kuasa ini bakal menguntungkan rakyat Sarawak.

