Sarawak Business Angel Network jadi platform utama hubungkan usahawan dan pelabur awal

14/08/2025 - 16:22
Gambar Unit Komunikasi Awam Sarawak Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 14 Ogos – Sarawak terus mengukuhkan ekosistem pelaburan awal dan keusahawanan negeri itu melalui pelancaran Sarawak Business Angel Network (SBAN).
SBAN adalah hasil kerjasama Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dengan Malaysian Business Angel Network (MBAN) yang akan menghubungkan komuniti pelabur dengan rangkaian nasional dan serantau, memperluas akses kepada peluang pelaburan berkualiti, serta berkongsi amalan terbaik dalam syarikat permulaan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penubuhan SBAN adalah komitmen negeri itu dalam membina komuniti pelabur awal Sarawak yang akan melabur bukan sahaja dalam syarikat, tetapi juga dalam bakat dan potensi individu.
“Pelabur perlu membuat penilaian menyeluruh bukan sahaja dari segi pulangan tetapi impak sosial yang akan dinikmati selepas itu.
“Syarikat pemula tempatan terus melakukan pelbagai inovasi untuk mencipta penyelesaian dan sokongan pelabur awal sangat diperlukan untuk membantu mereka ini yang kebanyakannya terdiri daripada usahawan luar bandar, wanita dan inovator pribumi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat di majlis pelancaran SBAN di Pusat Beli-belah Plaza Merdeka di Kuching, hari ini.
Tambahnya, melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, kerajaan negeri telah merangka pelan hala tuju yang jelas dan bercita-cita tinggi untuk menjadikan Sarawak sebuah ekonomi maju berasaskan inovasi.
“Namun, bagi merealisasikan visi ini, ruang perlu diberikan kepada syarikat pemula niaga, golongan belia dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berkembang.
“Inovasi tidak dapat berkembang secara bersendirian kerana ia memerlukan lebih daripada sekadar pembiayaan, termasuk keyakinan, bimbingan, kerjasama dan keberanian mengambil risiko strategik.
“Di sinilah SBAN memainkan peranan sebagai platform yang menghubungkan cita-cita dengan peluang serta mempertemukan usahawan bersama pelabur yang yakin terhadap visi mereka,” katanya. - DagangNews.com
standard


