Strategi pemasaran usahawan Thailand jadi 'blueprint' kompetitif untuk PMKS tempatan - Exco Usahawan Terengganu

25/07/2025 - 18:57
Model pemasaran usahawan Thailand boleh dijadikan contoh untuk PMKS Terengganu teroka pasaran serantau Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
HATYAI 24 Julai – Kejayaan model perniagaan di Thailand perlu dicontohi oleh usahawan perindustrian mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dari Terengganu dalam memperluas capaian eksport produk halal dan bercirikan identiti negeri ke pasaran serantau.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Datuk Ariffin Deraman berkata, pengusaha Thailand telah membina jenama dan rangkaian pasaran global secara sistematik dengan satu 'blueprint' yang sangat relevan untuk diadaptasi oleh usahawan Terengganu.
Beliau berkata, pendekatan pemasaran usahawan Thailand ialah menjelaskan nilai produk kepada pelanggan dan strategi ini membolehkan pengguna memahami dengan jelas fungsi dan manfaat produk serta sedia untuk membayar dengan harga yang berpatutan.
"Kejayaan ini turut menjadi faktor utama di sebalik perkembangan pesat sektor PKS Thailand, terutama dalam industri makanan halal, produk kesihatan dan pertanian moden yang menembusi pasaran eksport seperti Indochina dan Asia Timur.
"Usahawan Terengganu juga mampu mencapai kejayaan sama dengan meningkatkan kredibiliti jenama, kepercayaan terhadap produk yang dikeluarkan untuk mengukuhkan hubungan jangka panjang dengan pelanggan.
"Usahawan tempatan yang boleh melaksanakan model perniagaan seperti ini, pasti menikmati kelebihan daya saing yang lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa pusat pengeluaran produk berasaskan herba dan madu di Hatyai hari ini.


Kunjungan lebih 30 wakil dari jabatan dan agensi kerajaan peringkat negeri dan pusat itu bertujuan meneroka potensi pasaran PMKS Terengganu ke pasaran Thailand dan negara serantau.
Mengulas lanjut, Ariffin berkata, platform seperti Asean Mall kini menjadi saluran pemasaran silang sempadan yang penting, dengan produk tempatan mula berada di pasaran Thailand.
"Usahawan Terengganu juga perlu menggunakan strategi pemasaran digital, model francais dan pembangunan jenama yang konsisten kerana pendekatan ini telah terbukti berjaya dilaksanakan oleh rakan industri di Thailand.
"Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu menyediakan sokongan teknikal seperti bantuan pembungkusan, pelabelan dan latihan industri bagi memperkukuh persediaan usahawan memasuki pasaran antarabangsa.
"Kita di Terengganu akan terus memperkasakan produk Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dengan meniru model perniagaan di Thailand," katanya.


Tambahnya, Terengganu mempunyai banyak produk keluaran usahawan yang berkualiti seperti batik, songket serta makanan warisan seperti keropok lekor.
"Agenda memartabatkan PMKS Terengganu memerlukan sokongan berterusan dalam bentuk modal, latihan digital dan jaringan pasaran serantau yang kukuh.
"Masih banyak yang perlu dilakukan untuk mengangkat martabat produk usahawan Terengganu agar dapat menembusi pasaran global," katanya.- DagangNews.com
standard



