Sarawak Plantation dijangka terus catat pertumbuhan kukuh disokong peningkatan buah tandan segar dan kawalan kos - Philip Capital

LocalBusiness & Finance
23 Jul 2025 • 3:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sarawak Plantation dijangka terus catat pertumbuhan kukuh disokong peningkatan buah tandan segar dan kawalan kos - Philip Capital

image is not available

23/07/2025 - 15:41

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Julai - Sarawak Plantation diyakini terus mencatat prospek pertumbuhan sederhana hingga jangka panjang yang kukuh, didorong oleh peningkatan hasil buah tandan segar (BTS), kawalan kos yang berdisiplin serta kejayaan usaha penanaman semula yang telah mengeluarkan hasil, kata Phillip Capital.

Firma penyelidikan itu berkata, pengeluaran BTS syarikat juga dijangka meningkat kepada 378,000 tan pada 2025, bersamaan pertumbuhan tahunan 12 peratus.

"Peningkatan itu berikutan lebih banyak pokok memasuki usia matang, selain tambahan 1,100 hektar kawasan baharu yang mula mengeluarkan hasil.

"Pengurusan Sarawak Plantation turut yakin dengan potensi pertumbuhan syarikat dengan sasaran pengeluaran melepasi 420,000 tan pada 2026 dan mencecah lebih 550,000 tan menjelang 2029, didorong oleh struktur umur pokok yang lebih matang, amalan pertanian lestari yang dipertingkat serta kemajuan dalam mekanisasi ladang.

“Usaha penanaman semula yang dijalankan sejak beberapa tahun lalu juga kini mula membuahkan hasil menerusi produktiviti yang semakin baik,” kata Phillip Capital dalam nota kajiannya.

Bagaimanapun, kumpulan telah menyemak semula unjuran pengeluaran BTS 2025 kepada 380,000 tan daripada 400,000 tan sebelumnya, berikutan keadaan cuaca lebih lembap daripada jangkaan pada suku pertama tahun kewangan 2025.

Walaupun begitu, pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal stabil secara tahunan, disokong oleh jumlah pembelian BTS luar yang berterusan.

Firma itu turut menjangkakan pemulihan berturut-turut pada suku kedua 2025, selari dengan corak bermusim, apabila jumlah BTS bagi tempoh Januari hingga Mei 2025 mencecah 131,000 tan, meningkat 7.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Kos seunit pengeluaran MSM daripada ladang milik sendiri pula dijangka menyusut kepada antara RM2,400 hingga RM2,500 setan pada 2025, berbanding RM2,800 setan pada 2024, sebelum terus turun ke RM2,300 setan pada 2026. Penurunan ini dipacu pemulihan jumlah pengeluaran dan sumbangan BTS dalaman yang lebih tinggi.

"Meskipun semakan gaji minimum pada Februari 2025 dijangka meningkatkan kos buruh sebanyak tiga hingga empat peratus, kecekapan operasi di ladang serta kawalan kos yang berdisiplin dijangka dapat mengekalkan margin keuntungan," katanya.

Tambah firma itu, tekanan kos baja kekal terkawal, walaupun terdapat trend harga bercampur bagi jenis input utama.

Sehubungan itu, Phillip Capital mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham Sarawak Plantation dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.88 sesaham, berdasarkan sembilan kali unjuran pendapatan sesaham tahun 2026.

Firma itu turut memberi amaran terhadap beberapa risiko utama termasuk pengeluaran atau harga sawit yang lebih rendah daripada jangkaan, tekanan inflasi kos dan ketidaktentuan dasar kawal selia. - DagangNews.com

standard