Sunway dijangka terus catat pertumbuhan kukuh disokong hartanah, pembinaan dan penjagaan kesihatan - penganalisis

21/07/2025 - 09:48
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 21 Julai - Sunway Bhd dijangka terus mencatat pertumbuhan kukuh disokong beberapa faktor termasuk kejayaan memperoleh kontrak pembinaan melebihi jangkaan, penukaran status tanah di Johor kepada pegangan bebas serta penyenaraian segmen penjagaan kesihatan yang dijangka berlangsung pada awal 2026, kata penganalisis.
UOB Kay Hian Research (UOBKH Research) berkata, dalam jangka masa panjang pula, segmen pembangunan hartanah kumpulan disokong oleh jualan kukuh hasil pelancaran berfasa, strategi pengumpulan tanah yang efisien serta penglibatannya dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Gabungan faktor-faktor ini memberi ciri defensif kepada Sunway dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global,” kata firma itu dalam nota kajiannya.
Minggu lalu, usaha sama antara Sunway dan Sing Holdings Residential Pte Ltd (SHRPL) dari Singapura telah memperoleh tapak kediaman pegangan pajakan 99 tahun di Chuan Grove, Singapura dengan nilai tender S$703.6 juta (RM2.33 bilion), yang dianugerahkan oleh Urban Redevelopment Authority (URA).
Tapak itu terletak berhampiran Stesen MRT Lorong Chuan dan memiliki akses yang baik selain berdekatan sekolah serta lebuh raya utama.
Projek pembangunan itu dijangka merangkumi tiga blok menara pangsapuri dengan sekitar 550 unit dan akan dibangunkan dalam tempoh lima tahun dengan pelancaran dirancang pada separuh kedua tahun 2026.
Sunway Developments Pte Ltd (SDPL), anak syarikat milik penuh Sunway Holdings Sdn Bhd, akan memegang 35% kepentingan dalam syarikat usaha sama yang akan ditubuhkan kelak, manakala SHRPL akan memiliki 65%.
UOBKH menjangkakan nilai pembangunan kasar (GDV) projek tersebut sekitar S$1.4 bilion (RM4.7 bilion), berdasarkan kadar kos tanah kepada GDV sekitar 50%.
“Berdasarkan pegangan 35%, tempoh pembangunan lima tahun, dan margin bersih antara 10% hingga 15%, kami mengunjurkan sumbangan keuntungan sebanyak S$10 juta hingga S$15 juta (RM33 juta hingga RM50 juta) setahun, iaitu kira-kira 3% hingga 4% daripada unjuran pendapatan kami bagi tahun 2027,” menurut firma itu.
Walaupun pendapatan 2025 dijangka sedikit terjejas akibat pengiktirafan keuntungan tidak sekata daripada projek di Singapura, firma itu tetap positif terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang Sunway.
“Prospek tersebut disokong oleh jualan kukuh hasil pelancaran berfasa, penukaran tanah pajakan swasta kepada pegangan bebas di Medini Johor serta pengumpulan tanah yang semakin meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, MBSB Research mengekalkan saranan ‘neutral’ ke atas saham Sunway dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM5.01, sambil mengekalkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027.
Firma itu menjangka nisbah hutang bersih akan meningkat kepada 0.49 kali daripada 0.44 kali pada suku pertama 2025 susulan pemerolehan tanah baharu di Singapura.
“Kami melihat penyenaraian Sunway Healthcare Group menjelang separuh pertama 2026 sebagai pemangkin utama dalam masa terdekat, namun pada masa sama percaya bahawa kebanyakan faktor positif telah pun diambil kira dalam harga saham semasa,” kata MBSB dalam nota kajiannya.
Selain itu, TA Research pula menyatakan penyertaan Sunway ke tapak Chuan Grove berada pada kedudukan strategik untuk memenuhi permintaan, memandangkan lokasinya di kawasan perancangan Serangoon yang matang dan mapan.
“Penyertaan kukuh dalam proses tender tanah menunjukkan keyakinan tinggi pemaju terhadap nilai lokasi tersebut,” kata firma itu yang mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran RM5.68.
RHB Research pula menaikkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2027 sebanyak 5% memandangkan projek di Chuan Grove dijadual dilancarkan pada 2H26.
Firma itu juga mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran lebih tinggi iaitu RM5.81.
RHB turut menyatakan pembinaan kumpulan berada di landasan pertumbuhan dalam tempoh beberapa tahun akan datang, disokong oleh pengebilan berperingkat untuk projek infrastruktur dalaman dan projek berkaitan pusat data.
“Kami dimaklumkan bahawa tender pusat data yang sedang berjalan tidak mengalami kelewatan, menepis kebimbangan mengenai kelembapan dalam penganugerahan kontrak,” kata firma itu lagi.
Tambah UOBKH lagi, segmen penjagaan kesihatan Sunway sedang berkembang pesat dan didorong oleh permintaan struktur serta pelancongan kesihatan.
Sunway menyasarkan peningkatan pesakit asing kepada 15% menjelang akhir tahun ini, berbanding 13% pada suku pertama 2025, sejajar dengan momentum Tahun Melawat Malaysia 2026 yang turut menekankan pelancongan perubatan dan kesihatan.
“Penyenaraian segmen penjagaan kesihatan dijangka berlangsung pada awal 2026 dan berpotensi membuka nilai pemegang saham secara signifikan,” katanya.
Firma itu mengunjurkan penilaian pasaran bagi segmen kesihatan Sunway boleh mencecah antara RM16 bilion hingga RM19 bilion berdasarkan nisbah 22 hingga 26 kali pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) 2027 sebanyak RM765 juta.- DagangNews.com
featured standard


