hamden23/11/2026 - 09:29 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Nov - Sarawak Plantation Bhd (SPB) dijangka terus mencatatkan pertumbuhan pengeluaran tandan buah segar (BTS) sawit pada tahun kewangan 2027 (FY27), disokong kematangan kira-kira 1,700 hektar kawasan tanaman serta peningkatan hasil daripada pokok sawit muda yang memasuki peringkat matang.
BIMB Securities berkata, pertumbuhan itu dijangka turut menerima sumbangan setahun penuh daripada kira-kira 1,000 hektar kawasan tanaman yang mencapai kematangan pada FY26, sekali gus memperkukuh pengeluaran BTS daripada ladang milik kumpulan.
"Kami mengunjurkan pengeluaran BTS SPB meningkat 9% kepada 430,000 tan metrik (MT) pada FY27, berbanding anggaran 395,000 MT bagi FY26," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagaimanapun firma itu berkata, unjuran berkenan lebih konservatif berbanding sasaran pengurusan masing-masing sebanyak 480,000 MT bagi FY27 dan 400,000 MT bagi FY26, mengambil kira kemungkinan kesan kelewatan cuaca terhadap hasil tanaman meskipun taburan hujan menunjukkan peningkatan.
Menurut BIMB Securities, peningkatan jumlah pengeluaran BTS dijangka memperbaiki penyerapan kos dan membantu kumpulan mengimbangi tekanan inflasi kos.
"Pihak pengurusan pula menjangkakan kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM), tidak termasuk perbelanjaan jualan dan pengedaran, sekitar RM2,500 setan pada FY26.
"Prospek pertumbuhan pengeluaran itu turut disokong prestasi kewangan kukuh SPB apabila kumpulan merekodkan keuntungan bersih teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM82.5 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY26), meningkat 36% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya," kata firma itu lagi.
Prestasi kewangan kukuh
Pencapaian itu sejajar dengan jangkaan penganalisis dan konsensus pasaran, masing-masing merangkumi 78% dan 72% daripada unjuran keuntungan setahun penuh.
Bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26), hasil SPB meningkat 11% tahun ke tahun kepada RM154.5 juta, manakala PATAMI teras berkembang 16% berbanding suku sebelumnya kepada RM35.9 juta.
SPB turut mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 7.50 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen terkumpul bagi FY26 setakat ini sebanyak 20 sen, sama seperti tempoh sama tahun sebelumnya.
Penganalisis menganggarkan jumlah dividen bagi FY26 sebanyak 25 sen sesaham, bersamaan hasil dividen sekitar 6.2%.
Sehubungan itu, BIMB Securities mengekalkan saranan BELI terhadap saham SPB dengan harga sasaran tidak berubah pada RM5.40, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) 12.5 kali ke atas unjuran pendapatan sesaham FY27 sebanyak 43.3 sen.
Taburan hujan rendah tidak jejas kualiti ladang
Sementara itu MBSB Research berkata, pengeluaran BTS SPB setakat ini kekal tidak terjejas meskipun kawasan ladangnya merekodkan taburan hujan lebih rendah, sekali gus memberikan petunjuk positif terhadap daya tahan operasi perladangan kumpulan itu.
Pihak pengurusan memaklumkan bahawa taburan hujan di kawasan ladang masih belum jatuh di bawah paras 100 milimeter, iaitu tahap yang boleh menjejaskan pertumbuhan pokok kelapa sawit.
"Keadaan itu menunjukkan operasi perladangan SPB masih berupaya mengekalkan pengeluaran dalaman walaupun berdepan keadaan cuaca lebih kering, ketika fenomena El Niño mula muncul dan risiko kekurangan bekalan minyak sawit mentah (MSM) serantau menjadi perhatian pasaran," katanya.
Menurut MBSB Research, pengeluaran BTS dalaman SPB turut menunjukkan peningkatan ketara susulan kematangan kawasan tanaman baharu hasil program penanaman semula secara agresif yang dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Perkembangan berkenaan turut menunjukkan kualiti hasil tanaman dalaman dan kecekapan penuaian kumpulan terus bertambah baik, sekali gus membolehkan kilang mengurangkan kebergantungan kepada pembelian buah sawit daripada pihak ketiga tanpa menjejaskan penggunaan kapasiti kilang secara ketara.
MBSB Research mengekalkan saranan BELI terhadap saham SPB dengan harga sasaran tidak berubah pada RM5.36 sesaham, berdasarkan anggaran pendapatan sesaham (EPS) FY27 sebanyak 48.7 sen dan penilaian nisbah harga kepada pendapatan (PER) 11 kali. - DagangNews.com


