Johor Plantations yakin pengeluaran tandan buah segar sawit lepasi paras sejuta tan pada FY2026 - RHB Research

LocalBusiness & Finance
13 Nov 2026 • 9:33 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Johor Plantations yakin pengeluaran tandan buah segar sawit lepasi paras sejuta tan pada FY2026 - RHB Research Image from: Johor Plantations yakin pengeluaran tandan buah segar sawit lepasi paras sejuta tan pada FY2026 - RHB Research hamden13/11/2026 - 09:33 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Nov – Johor Plantations Group Berhad (Johor Plantations) yakin pengeluaran tandan buah segar (BTS) sawit bagi tahun kewangan 2026 (FY26) akan melepasi paras satu juta tan, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan tersebut menjangkakan pengeluaran BTS mencapai kemuncak pada Oktober 2026, disokong oleh pemulihan hasil tanaman bermusim dan keadaan cuaca yang lebih baik.

 

Bagaimanapun, cuaca kering yang berterusan masih menjadi antara faktor utama yang menjejaskan pengeluaran, seperti dicerminkan oleh jumlah pengeluaran BTS bagi sembilan bulan pertama 2026 (9M26) yang merosot 11.8% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Dalam perkembangan berkaitan, RHB Research berkata, pihak pengurusan menjangkakan pengeluaran BTS bagi FY27 kekal pada paras hampir sama seperti FY26, meskipun mengambil kira risiko fenomena El Nino.

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3Q26), pengeluaran BTS Johor Plantations meningkat 35.6% berbanding suku sebelumnya, namun menyusut 12.6% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Pemulihan secara suku tahunan itu didorong oleh peningkatan hasil tanaman bermusim serta keadaan cuaca lebih baik apabila kekurangan taburan hujan semakin berkurangan.

 

Keuntungan teras suku tahunan meningkat

Sementara itu, keuntungan teras kumpulan meningkat dua kali ganda kepada RM100.4% secara suku tahunan, namun menyusut 13% berbanding tahun sebelumnya, terutamanya disokong peningkatan pengeluaran BTS dan kos seunit yang lebih rendah.

 

Keuntungan teras terkumpul 9M26 bagaimanapun merosot 27.4% kepada RM176.9 juta, bersamaan 70% daripada unjuran setahun penuh penganalisis dan 63% daripada anggaran konsensus pasaran.

 

Johor Plantations mengisytiharkan dividen sesaham sebanyak 1.50 sen bagi 3Q26, menjadikan jumlah dividen terkumpul 9M26 sebanyak 3.60 sen, bersamaan nisbah pembayaran dividen 51%.

 

Dari segi harga komoditi, harga jualan purata (ASP) minyak sawit mentah (MSM) kumpulan meningkat 0.8% secara suku tahunan dan 6.6% secara tahunan kepada RM4,683 setan bagi 3Q26, iaitu premium 3% berbanding harga rujukan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

 

ASP isirung sawit pula merosot 3.6% berbanding suku sebelumnya kepada RM3,747 setan, meskipun meningkat 6.6% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Harga Premium

Johor Plantations turut memperoleh harga premium bagi keseluruhan pengeluaran FY26, dengan 70% di bawah kategori Identity Preserved (IP) pada premium RM200 hingga RM250 setan, manakala baki 30% di bawah kategori Mass Balance (MB) pada premium RM100 hingga RM150 setan.

 

Bagaimanapun, kos pengeluaran MSM seunit meningkat 10.9% secara tahunan kepada RM2,557 setan pada 3Q26, dipengaruhi kenaikan harga diesel serta kos penyelenggaraan dan penjagaan aset yang meningkat 10.8%.

 

Pihak pengurusan menjangkakan kos seunit bagi FY26 meningkat kira-kira 10% berbanding tahun sebelumnya, manakala kos baja bagi FY27 diunjurkan meningkat sekitar 15%.

 

Susulan itu, RHB Research menyemak turun unjuran keuntungan Johor Plantations bagi FY26 hingga FY28 masing-masing sebanyak 2.9%, 8.4% dan 6.4%, mengambil kira kos seunit lebih tinggi serta premium harga jualan purata isirung sawit yang lebih rendah.

 

Bagaimanapun, saranan BELI dikekalkan dengan harga sasaran baharu RM2.00 berbanding RM2.20 sebelum ini, berdasarkan penilaian 15 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27.

 

Harga sasaran baharu itu mencerminkan potensi kenaikan 11%, selain anggaran hasil dividen sekitar 4% bagi FY27.

 

Pada penilaian semasa, Johor Plantations didagangkan pada nisbah P/E FY27 sebanyak 14 kali, iaitu pada paras terendah dalam julat penilaian syarikat setara antara 14 hingga 21 kali. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved