Sarawak sasar teroka komunikasi berasaskan angkasa menjelang 2030

LocalSpace
6 Aug 2026 • 11:13 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sarawak sasar teroka komunikasi berasaskan angkasa menjelang 2030 Image from: Sarawak sasar teroka komunikasi berasaskan angkasa menjelang 2030 hamden06/08/2026 - 11:13 Ilustrasi janaan AI sekadar hiasan. Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Sarawak sedang memperkukuh persediaannya untuk menjadi pemain dalam industri aeroangkasa dan teknologi komunikasi generasi baharu dengan meneliti pengurusan spektrum, membangunkan sistem penyimpanan data strategik milik negeri serta merangka pelan untuk melancarkan satelit sendiri pada masa hadapan.

 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, landskap telekomunikasi global sedang berubah apabila kesalinghubungan pada masa depan dijangka lebih bergantung kepada isyarat tanpa wayar yang dihantar melalui angkasa berbanding rangkaian gentian optik dan infrastruktur konvensional.

 

Beliau berkata, perubahan itu menuntut Sarawak membuat persediaan awal bagi memastikan negeri itu tidak ketinggalan dalam pembangunan ekonomi digital dan teknologi angkasa.

 

Sacofa
Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-25 Sacofa - Gambar/ UKAS

 

“Pada masa depan, telekomunikasi akan lebih bergantung kepada isyarat berbanding saluran (pipeline).

 

“Justeru, kita perlu melihat bagaimana kedudukan Sarawak dalam pengurusan spektrum yang akan menjadi aset penting kepada teknologi komunikasi masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-25 Sacofa.

 

Menurut beliau, walaupun pengurusan spektrum berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, penggunaan isyarat tersebut turut melibatkan ruang udara Sarawak, sekali gus memerlukan penyelarasan antara hak Persekutuan dan kepentingan negeri.

 

Sehubungan itu, Peguam Besar Negeri telah diarahkan meneliti aspek perundangan sebelum rundingan diadakan dengan kerajaan Persekutuan bagi mencari mekanisme terbaik dalam pengurusan spektrum.

 

Penyimpanan Data Strategik

Selain komunikasi berasaskan angkasa, Abang Johari berkata Sarawak turut menilai keperluan mewujudkan sistem penyimpanan data sendiri bagi memastikan semua maklumat strategik negeri, termasuk data berkaitan sumber asli, disimpan dalam infrastruktur yang dikawal kerajaan negeri.

 

Beliau menegaskan penguasaan terhadap data strategik akan menjadi antara faktor utama dalam memperkukuh daya saing Sarawak dalam era ekonomi digital.

 

“Data strategik termasuk maklumat mengenai sumber yang terdapat di bawah tanah Sarawak perlu disimpan dan diuruskan oleh negeri sendiri,” katanya.

 

Sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang, Sarawak menyasarkan untuk memasuki industri aeroangkasa menjelang 2030, termasuk membangunkan kepakaran tempatan yang mampu menyokong sektor tersebut.

 

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan Sarawak akan melancarkan satelit milik sendiri pada masa hadapan serta menggunakan nanosatelit di orbit rendah bumi bagi memperluaskan liputan komunikasi.

 

Cita-cita Terlalu Tinggi?

“Ada yang menganggap sasaran ini terlalu bercita-cita tinggi, namun saya percaya kita mempunyai sumber dan keupayaan untuk merealisasikannya,” katanya.

 

Bagi menyokong agenda itu, Sarawak kini memperkukuh ekosistem teknologi melalui latihan aeroangkasa di i-CATS University College, cadangan pembangunan Kuching AI Data Campus di Tanjung Embang serta penyelidikan semikonduktor bersama rakan kerjasama dari United Kingdom.

 

Menurut Abang Johari, semua inisiatif itu merupakan sebahagian daripada pelan hala tuju negeri untuk meletakkan Sarawak sebagai pemain bertaraf dunia dalam industri teknologi, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi dan ekonomi digital pada masa hadapan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved