johardy05/08/2026 - 10:01 Tapak pembinaan projek loji Kemubu - Gambar Malakoff/Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Ogos - Malakoff Corporation Bhd menyasarkan Februari dan April 2027 untuk menyiapkan tiga loji di bawah projek Hidroelektrik Kecil RP Hydro (Kelantan) berkapasiti 84MW yang terlepas sasaran asal siap pada Ogos 2026.
Loji Serasa dan Kemubu kini disasarkan siap pada Februari 2027, manakala loji Kuala Geris dijangka disiapkan pada April 2027, menurut TA Research.
Sasaran baharu itu masih berada dalam tempoh akhir Tarif Galakan yang ditetapkan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) pada Jun 2027, kata firma penyelidikan tersebut yang dibawa meninjau tapak projek berkenaan di Kelantan baru-baru ini.
Projek itu pada asalnya disasarkan untuk ditauliahkan pada bulan ini, tetapi berdepan kelewatan terutama di Kuala Geris akibat akses tapak yang terhad, kelulusan pihak berkuasa dan cuaca buruk.
Kemajuan pembinaan semakin pantas
Kerja pembinaan dipercepat selepas Malakoff menyiapkan jalan masuk baharu ke Kuala Geris pada Ogos 2025, sekali gus memudahkan pergerakan pekerja, jentera dan bahan binaan ke tapak berkenaan.
Sebuah loji pengadun konkrit turut dibina di tapak, manakala penggunaan acuan sistem hidraulik memendekkan kitaran penuangan konkrit daripada tujuh hari kepada tiga hari.
Setakat akhir Julai 2026, pembinaan benteng di Kuala Geris menunjukkan kemajuan, menurut TA Research.
Di Serasa dan Kemubu, pembinaan empangan sementara bagi lencongan sungai telah siap, manakala kerja pembinaan rumah janakuasa sudah dimulakan.
Turbin jenis axial bulb bagi projek itu yang dibekalkan Andritz Hydro dijangka dihantar secara berperingkat pada September dan Oktober 2026 untuk pemasangan.
Terletak di sepanjang Sungai Galas di Dabong, projek aliran sungai itu merangkumi loji Serasa berkapasiti 30MW, Kemubu 29MW dan Kuala Geris 25MW. Malakoff memperoleh 70% pegangan dalam pemilik projek, RP Hydro (Kelantan) Sdn Bhd, pada Mac 2023.

Jangka jana sehingga 484GWh setahun
Apabila siap, projek itu dijangka menjana sehingga 484 gigawatt-jam tenaga elektrik setahun di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga Boleh Baharu selama 21 tahun.
Tenaga elektrik yang dijana di Serasa dan Kuala Geris akan dihantar pada voltan 33 kilovolt ke stesen pengumpul di Kemubu sebelum dinaikkan kepada 132 kilovolt untuk disalurkan ke Grid Nasional.
TA Research berkata setiap loji mempunyai perjanjian pembelian tenaga masing-masing, yang berpotensi membolehkan loji yang siap lebih awal mula membekalkan elektrik ke grid tanpa perlu menunggu keseluruhan projek disiapkan.
Projek itu dibangunkan menerusi kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan pada harga tetap dengan jumlah perbelanjaan modal RM1.2 bilion.
Firma penyelidikan itu berkata kos tambahan akibat kelewatan atau penggunaan peralatan pembinaan yang dipertingkatkan akan ditanggung kontraktor berdasarkan sifat kontrak harga tetap tersebut.
Kira-kira 80% daripada perbelanjaan modal projek dibiayai menerusi program Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab Hijau ASEAN bernilai sehingga RM975 juta.
Potensi sumbang sehingga RM25 juta setahun
Berdasarkan andaian kadar pulangan dalaman ekuiti antara 9% hingga 10%, TA Research menganggarkan projek itu berpotensi menyumbang purata pendapatan tahunan antara RM22 juta hingga RM25 juta kepada Malakoff sepanjang tempoh perjanjian 21 tahun.
Sumbangan itu dianggarkan mewakili kira-kira 8% hingga 9% daripada unjuran pendapatan Malakoff bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2028.

Pembangunan hidroelektrik di Kelantan itu dijangka menjadi projek pertama dalam rangkaian tenaga boleh baharu Malakoff yang akan mula beroperasi.
Projek lain yang diketengahkan TA Research termasuk loji sisa kepada tenaga berkapasiti 22MW di Sungai Udang, projek solar berskala besar 100MW di Sarawak serta kapasiti 470MW yang diperoleh di bawah program LSS5+.
Firma penyelidikan itu menjangkakan projek solar di Sarawak dan LSS5+ siap menjelang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2028, manakala loji Sungai Udang disasarkan siap pada FY2029.
TA Research mengekalkan saranan Beli terhadap Malakoff dengan harga sasaran berasaskan jumlah keseluruhan bahagian tidak berubah pada RM1.26.
Firma itu berkata aset tenaga boleh baharu Malakoff menyumbang kira-kira 28% daripada penilaiannya, manakala syarikat didagangkan pada 4.3 kali nilai perusahaan berbanding pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan bagi FY2027, lebih rendah daripada purata sejarahnya sebanyak 5.2 kali. - DagangNews.com




