hamden21/10/2026 - 12:31 Gambar Hiasan/ BERNAMA KUALA LUMPUR 21 Okt – Sarawak mengenal pasti kawasan seluas 3,134 kilometer persegi untuk dijalankan kajian bagi meneroka potensi sumber unsur nadir bumi (REE) di negeri itu, menurut Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Untuk itu katanya, Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan RM18 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menjalankan kajian menyeluruh.
Beliau menambah, peruntukan itu akan menyokong usaha mengenal pasti potensi sumber REE negeri berkenaan, sekali gus menyediakan asas bagi pembangunan industri itu pada masa hadapan.
Awang Tengah berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Selasa.
Menurutnya, kerajaan negeri turut menyiapkan pelan hala tuju pembangunan bersepadu industri REE yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai daripada sektor huluan hingga hiliran.
"Pelan itu bertujuan membangunkan magnet super bagi menyokong pertumbuhan industri semikonduktor, aeroangkasa dan satelit Sarawak, selain penggunaannya dalam pembuatan kenderaan elektrik (EV), teknologi pertahanan, perubatan dan sektor lain," katanya lapor portal DayakDaily
Mohon Peruntukan Lebih Besar
Dalam perkembangan berkaitan, Awang Tengah berkata, permohonan peruntukan lebih besar turut dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia cawangan Sarawak memperluas kajian mengenai potensi sumber mineral di seluruh negeri itu.
Pada masa sama, beliau menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan aktiviti perlombongan dan pengkuarian dilaksanakan secara mampan, dengan mengimbangi keperluan pembangunan dan ekonomi serta pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Sejajar dengan usaha itu, Pihak Berkuasa Pengurusan Mineral Sarawak (SMMA) meluluskan Dasar Pembangunan Industri Mineral Sarawak yang merangkumi tujuh teras dan 43 komponen utama.
Dasar berkenaan menekankan amalan perlombongan dan pengkuarian hijau, penggunaan teknologi terkini, pembangunan modal insan serta pembangunan industri mineral secara bersepadu merentasi sektor huluan, pertengahan dan hiliran bagi meningkatkan nilai tambah produk.
Awang Tengah berkata, Akademi Perlombongan dan Pengkuarian Hijau yang ditubuhkan menerusi kerjasama strategik antara Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dengan Universiti British Columbia (UBC), Kanada, akan menjadi platform untuk menyokong pelaksanaan dasar berkenaan. Akademi itu dilancarkan oleh beliau di Lawas pada 2025. - DagangNews.com


