
ROMPIN – Serangan keladi jenis agas dan paku rawan yang luar biasa di Jelapang Padi Paya Sepayang di sini dikatakan berpunca daripada benih tumbuhan itu yang memenuhi kolam takungan air di kawasan itu.
Kolam takungan air tersebut merupakan sumber pengairan utama bagi sawah padi Paya Sepayang seluas kira-kira 240 hektar.
Dapatan itu sekiranya benar sekali gus menyaksikan usaha pesawah meracun keladi berkali-kali akan sia-sia memandangkan benih keladi akan terus menerus memasuki kawasan penanaman padi melalui aliran air.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Mohd. Fadzli Mohd. Ramly berkata, berdasarkan siasatan awal daripada pihak berkuasa berkaitan mendapati, benih keladi berkenaan datang daripada kolam takungan yang digunakan pesawah.
“Saya difahamkan bahawa benih keladi ini datang daripada kolam takungan di belakang yang mengairkan air ke sini dan ditambah pula dengan sistem tanaman yang dahulunya dengan cara tabur tetapi sekarang dengan cara ‘transplanter’.
“Saya mohon kerjasama daripada pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Rompin untuk melihat benih keladi di kawasan kolam takungan sebab kita tengok memang banyak dan saya percaya isu ini dapat selesaikan,” katanya di sini semalam.
Kosmo! pada 3 Oktober lalu melaporkan pesawah di daerah ini berada dalam keadaan tertekan apabila modal lebih RM200,000 yang digunakan untuk menanam padi lebur selepas sawah diusahakan mereka ditumbuhi pokok keladi jenis agas dan paku rawan secara agresif.
Fenomena luar biasa di Jelapang Padi Paya Sepayang melibatkan 202 pesawah berdaftar itu dikatakan pertama kali berlaku hingga menyebabkan sebahagian besar pokok padi yang ditanam di kawasan seluas 240 hektar mati.
Dalam pada itu, Mohd. Fadzli berkata, pihak biosekuriti tumbuhan Jabatan Pertanian juga akan datang ke kawasan jelapang padi berkenaan bagi melihat dan mencari penyelesaian terhadap masalah dihadapi petani termasuk serangan keladi dan serangga perosak yang agresif.
Katanya, sebuah syarikat pengeluar racun terkenal juga akan melakukan ujian lapangan menggunakan produk mereka di kawasan lot dikenal pasti dalam usaha membantu petani menghapuskan serangan keladi yang agresif pada musim akan datang.
The post ‘Patutlah tak pernah mati…’ appeared first on Kosmo Online.






