
64 Kursus Ijazah Kini Dibiayai Penuh Bawah Skim Pendidikan Percuma Sarawak, Ada Elaun RM15K Setahun
Sarawak Umum 64 Kursus Ijazah Dibiayai Penuh Bawah Skim FTES, Termasuk Elaun Tahunan RM15K. Sebanyak 64 kursus ijazah di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri Sarawak telah diluluskan di bawah Skim Pendidikan Percuma Tertiari Sarawak (FTES). Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha negeri untuk menyelaraskan pendidikan tinggi dengan keperluan ekonomi masa depan Sarawak.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, dalam satu sesi libat urus bersama pemegang taruh pendidikan.

Pendidikan Percuma & Elaun Tahunan RM15,000 Untuk Pelajar B40
FTES bukan sekadar menanggung sepenuhnya yuran pengajian bagi pelajar Sarawak yang layak, malah turut menyediakan elaun tahunan sebanyak RM15,000 kepada pelajar daripada isi rumah berpendapatan per kapita RM1,500 dan ke bawah.
Inisiatif ini menyasarkan pelajar daripada komuniti berpendapatan rendah dan kawasan luar bandar, bagi membolehkan mereka mengikuti pengajian tinggi tanpa dibebani isu kewangan.
“Untuk mencapai keadilan, kita perlu memegang prinsip equity — bukan sekadar equality. Ini bermaksud keperluan individu dinilai secara berbeza dan dibantu mengikut tahap keperluan masing-masing,” ujar beliau, menurut laporan media tempatan.
Institusi Terlibat Dalam Skim FTES
Pelajar boleh mengikuti pengajian ijazah di beberapa institusi utama milik negeri seperti:
- Swinburne University of Technology Sarawak
- Curtin University of Malaysia
- University Technology Sarawak (UTS)
- i-CATS University College
Semua institusi ini akan melaksanakan skim FTES secara penuh menjelang tahun 2026.
Sokongan Kepada Agenda Pembangunan Negeri
Dato Sri Roland turut menegaskan bahawa skim ini selari dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030, yang mengangkat pendidikan sebagai pemangkin utama mobiliti sosial dan kemajuan ekonomi.
Selain itu, kerajaan negeri juga komited dalam memperkukuh sistem pendidikan menerusi:
- Pemerkasaan TVET (Latihan Teknikal dan Vokasional)
- Galakan terhadap STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik)
- Penubuhan pusat sains dan inovasi
- Kolaborasi dengan institusi antarabangsa
Harapan Untuk Generasi Akan Datang
Beliau menyeru kepada semua institusi agar terus bekerjasama dalam membina ekosistem pendidikan yang mampan, sambil memupuk bakat dan penyelidikan demi manfaat generasi muda Sarawak.
“Marilah kita bersama menyumbang kepakaran dan sumber yang ada untuk menjayakan rancangan ini. Kita boleh memperkasakan generasi baharu Anak Sarawak melalui pendidikan dan inovasi,” katanya.
Inisiatif FTES ini merupakan langkah strategik yang mampu mengubah landskap pendidikan Sarawak secara menyeluruh. Ia bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar yang kurang berkemampuan, malah memastikan pembangunan bakat selaras dengan matlamat ekonomi negeri.
Untuk maklumat lanjut dan kelayakan, pelajar digalakkan untuk merujuk kepada institusi pengajian tinggi yang terlibat atau portal rasmi kerajaan negeri.
Baca juga artikel yang berkaitan:

