
KUALA LUMPUR: Walaupun Malaysia mencatat kemajuan dalam mengurangkan kemiskinan tegar kepada 0.09 peratus dan peningkatan berterusan gaji sektor formal, sebahagian isi rumah di Lembah Klang masih berdepan tekanan kos sara hidup yang tidak menentu.
Dapatan kajian bersama Southeast Asian Futures Initiative Centre (SEAFIC) dan MySDG Centre for Social Inclusion (MySDG-CSI) menunjukkan ramai isi rumah dalam kategori B40 dan M40 berada dalam keadaan kewangan yang mudah terjejas sekiranya berdepan satu bulan yang mencabar.
Kajian bertajuk ‘The Urban Squeeze: Raising the Floor for Economic Security and Mobility in Malaysia’ itu berdasarkan perbincangan kumpulan fokus tertutup membabitkan 15 penduduk B40 dan M40 di Lembah Klang.
Peserta terdiri daripada graduan baharu, ketua isi rumah, ibu tunggal yang bekerja, pekerja gig dan warga emas.
Menurut kajian itu, cabaran yang dihadapi isi rumah bukan hanya disebabkan kos yang tinggi, tetapi juga perbelanjaan yang sukar dijangka.
Katanya, bayaran sewa rumah dan pinjaman biasanya boleh dirancang lebih awal, namun perbelanjaan pengangkutan, utiliti dan makanan yang berubah-ubah setiap bulan lebih sukar dikawal.
“Apabila pengangkutan awam kurang boleh dipercayai, pekerja terpaksa menanggung kos memiliki dan mengendalikan kenderaan sendiri.
“Sebahagian pekerja muda pula menggunakan skim beli sekarang, bayar kemudian (BNPL) bagi membantu melancarkan aliran tunai mereka,” menurut laporan itu.
Kajian tersebut mencadangkan perancangan perumahan dan pengangkutan perlu dilakukan secara bersepadu bagi mengurangkan kos tidak dapat dielakkan yang ditanggung isi rumah bandar.
Selain itu, peserta turut menyuarakan kebimbangan mengenai jurang antara kelayakan akademik dengan peluang pekerjaan yang tersedia.
Graduan baharu dilaporkan memperoleh gaji sekitar RM2,000 hingga RM2,500, malah sebahagiannya bekerja dalam bidang yang tidak selari dengan kelayakan mereka.
Keadaan itu menyebabkan ramai terpaksa mendapatkan pensijilan tambahan bagi meningkatkan peluang pekerjaan. Namun kos pensijilan antara RM5,000 hingga RM20,000 dianggap terlalu tinggi.
Pada masa sama, sebahagian peserta bergantung kepada pekerjaan gig yang menawarkan pendapatan tidak tetap dari hari ke hari.
Menurut kajian, keadaan itu turut menyukarkan pekerja gig membuktikan pendapatan yang konsisten apabila memohon pinjaman perumahan.
Dalam isu makanan pula, kajian mendapati cabaran yang dihadapi bukan semata-mata berkaitan kemampuan mendapatkan makanan, tetapi keupayaan mendapatkan makanan yang berkhasiat.
Peserta mendakwa ikan sardin dan ikan kembung yang sebelum ini dianggap sebagai sumber protein mampu milik kini semakin sukar dibeli.
Sebahagian pemandu penghantaran dan pekerja gig turut dilaporkan terpaksa mengambil masa yang panjang antara satu hidangan dengan hidangan berikutnya ketika bekerja.
Kajian itu bagaimanapun mengakui bahawa tekanan kos sara hidup adalah berbeza mengikut kawasan dan negara.
Sebagai perbandingan, di Manila, hanya kira-kira satu pertiga penduduk bandar mempunyai akses mudah kepada pengangkutan awam, manakala graduan kolej membentuk hampir 38 peratus daripada golongan penganggur di Filipina.
Di Bangkok pula, harga median kondominium adalah sekitar 21 kali ganda pendapatan isi rumah tahunan.
Di Indonesia, pekerjaan tidak formal pula semakin menjadi realiti jangka panjang bagi sebahagian tenaga kerja, bukannya sekadar laluan sementara sebelum mendapatkan pekerjaan formal.
Empat keutamaan dasar
Kajian SEAFIC itu mengemukakan empat bidang keutamaan bagi menangani tekanan ekonomi isi rumah bandar.
Antaranya ialah mengemas kini sistem pemarkahan kredit supaya mengambil kira corak pendapatan pekerja gig dan pekerja fleksibel.
Kedua, menyediakan laluan lebih mampu milik kepada pensijilan profesional termasuk terma yang lebih adil berkaitan ikatan latihan.
Ketiga, bantuan makanan perlu mengambil kira aspek pemakanan dengan membolehkan penerima mendapatkan makanan segar termasuk pembelian di pasar basah.
Keempat, dasar perumahan dan pengangkutan perlu dirancang secara bersama supaya rumah mampu milik dibangunkan di kawasan yang mempunyai akses kepada sistem pengangkutan awam yang boleh dipercayai.
Peserta turut mencadangkan supaya sesuatu dasar diuji terlebih dahulu bersama komuniti yang bakal menerima kesannya sebelum dilaksanakan secara lebih meluas.
Pengerusi SEAFIC, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, cabaran seterusnya bagi Malaysia adalah memastikan kemajuan ekonomi dapat dirasai secara nyata oleh isi rumah bandar.
“Malaysia telah melaksanakan tugas sukar untuk hampir menghapuskan kemiskinan tegar. Ujian seterusnya ialah memastikan setiap keluarga Malaysia yang berusaha mampu merancang kehidupan dengan yakin untuk bulan berikutnya, bukan sekadar bertahan untuk hari ini,” katanya.
Menurut beliau, dapatan kajian menunjukkan rakyat bukan sekadar meminta bantuan, sebaliknya mahukan sistem yang mengambil kira realiti kehidupan seharian mereka.
“Antaranya bank yang mampu mengiktiraf pendapatan pekerja gig, bantuan yang membolehkan mereka membeli makanan segar dan pengangkutan awam yang boleh dipercayai.
“Ini adalah jangkaan yang munasabah dalam sebuah ekonomi moden,” katanya.
Beliau berkata, dasar yang berkesan perlu bermula dengan mendengar suara rakyat serta membangunkan institusi berdasarkan cara sebenar rakyat memperoleh pendapatan, bergerak dan menjalani kehidupan.
SEAFIC, katanya, akan meneruskan penglibatan bersama komuniti bagi memastikan proses pembuatan dasar lebih responsif, berasaskan realiti dan selari dengan pengalaman sebenar isi rumah Malaysia.
Kajian berkenaan dijalankan pada Ogos 2026 secara bersama oleh SEAFIC dan MySDG-CSI, sebuah badan pemikir dasar di bawah All-Party Parliamentary Group Malaysia for Sustainable Development Goals (APPGM-SDG).
Laporan itu bagaimanapun menegaskan bahawa kajian berkenaan merupakan diagnosis kualitatif dan bukannya tinjauan yang mewakili keseluruhan populasi.
Ia melengkapkan data kuantitatif sedia ada dengan mengenal pasti mekanisme serta pertukaran kepentingan yang mungkin tidak dapat dilihat melalui purata statistik negara.
Kajian menggunakan kaedah persampelan bertujuan, perbincangan berfasilitator, pengundian dot serta analisis tema di bawah peraturan Chatham House.
Antara bidang yang dikenal pasti untuk penambahbaikan dasar termasuk pemodenan sistem pemarkahan kredit bagi pekerja berpendapatan fleksibel, memperluas laluan kemahiran untuk golongan muda yang bekerja di bawah kelayakan, mengurangkan halangan pentadbiran dalam mendapatkan bantuan makanan serta menyelaraskan dasar perumahan dan pengangkutan.
Kajian itu turut mencadangkan agenda penyelidikan serantau yang lebih luas dengan menggunakan metodologi sama di bandar seperti Jakarta, Bangkok, Manila dan Ho Chi Minh City.
Langkah itu dilihat dapat membantu membezakan cabaran yang dikongsi negara-negara ASEAN dengan tekanan kos sara hidup yang berpunca daripada keadaan khusus setiap bandar. – UTUSAN
The post Sardin barang mewah? Kajian SEAFIC dapati isi rumah Lembah Klang berdepan ‘tekanan bandar’ appeared first on Utusan Malaysia.


![[VIDEO] ‘Pukul 7.30 Tol Duta, 9 malam baru R&R Sungai Buloh’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-25-at-21.57.15-1024x768.jpeg)
![[VIDEO] NKVE sesak, pokok tumbang halang laluan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-25-at-17.51.07-1024x576.jpeg)

