
PETALING JAYA – Penduduk di beberapa kawasan di Semenanjung terutama sekitar Lembah Klang kini berdepan hujan lebat, ribut petir serta angin kencang yang dijangka berlarutan sehingga pukul 6 petang ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran ribut petir susulan keadaan cuaca buruk tersebut sepanjang tempoh sama membabitkan tujuh negeri.
Menurut MetMalaysia, antara kawasan terkesan adalah Selangor (Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat dan Petaling) serta seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Selain itu, amaran sama turut melibatkan beberapa kawasan di Perak iaitu Kinta, Kampar, Perak Tengah, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
“Di Pahang, kawasan yang terlibat ialah Raub, Bera, Bentong, Cameron Highlands, Lipis, Temerloh dan Rompin, manakala di Negeri Sembilan membabitkan Jempol dan Jelebu.
“Amaran turut dikeluarkan bagi beberapa kawasan di Sarawak meliputi Kuching, Mukah (Daro, Mukah dan Tanjung Manis), Bintulu (Tatau), Sibu (Selangau) serta Sarikei (Maradong dan Sarikei),” lapor MetMalaysia.
Jabatan itu menambah, keadaan sama juga dilaporkan melanda negeri Sabah melibatkan kawasan Pedalaman (Tenom, Sook, Pensiangan, Tambunan, Keningau dan Sipitang), Sandakan (Tongod dan Telupid) serta Pantai Barat (Ranau).
MetMalaysia memaklumkan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Menurutnya, amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran. – KOSMO! ONLINE
The post Hujan lebat, guruh berdentum di Selangor, KL appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] KL banjir, sesak 3km Zoo Negara ke KL East Mall](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-09-at-16.52.39-1024x642.jpeg)



