
KUALA LUMPUR: Program Santun Kasih Pemandiri@Keganasan Rumah Tangga (SARI@KRT) telah menyantuni 3,600 peserta setakat 7 Ogos lalu, dengan pelbagai advokasi dan pendekatan dibuat terhadap mangsa keganasan rumah tangga.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementerian bersama agensi di bawahnya termasuk Jabatan Pembangunan Wanita komited membendung keganasan rumah tangga serta memastikan mangsa mendapat perlindungan, pembelaan dan akses kepada bantuan yang diperlukan.
“Sebenarnya program ini kita lakukan untuk seluruh negara. Jadi kita sudah sediakan untuk 1,400 orang. Jadi 100 untuk setiap negeri dahulu. Yang kita telah bantu secara khususnya memang sudah ramai. Tetapi cara membantu ini ada pelbagai.
“Sebelum ini, kita baru sahaja mengadakan program di Sabah. Seluruh negara kita juga mencapai dalam 1,400, yang mana kita membantu mereka yang bukan sahaja dikira keganasan. Tetapi kita juga membantu wanita yang mana mereka berusaha untuk mendapatkan nafkah untuk anak.
“Itu salah satu daripada cara kita membantu. Dan kita membantu mereka dari segi kewangan, beri mereka elaun sedikit untuk mereka turun naik ke mahkamah. Jadi mereka akan dapat mengusahakan tuntutan dari mahkamah itu supaya dibayar,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan SARI@KRT di sini, semalam.
SARI@KRT merupakan antara inisiatif baharu kementerian yang memberi fokus khusus kepada mangsa keganasan rumah tangga.
Ia meletakkan tiga objektif utama iaitu meningkatkan kesedaran mengenai usaha menghentikan keganasan terhadap wanita, menyalur maklumat tepat berkaitan isu keganasan rumah tangga dan memperkukuh kerjasama strategik dalam memastikan penyampaian sokongan kepada pemandiri secara terselaras, menyeluruh dan berkesan.
Nancy berkata, usaha menangani keganasan rumah tangga perlu diteruskan dan diperkukuh melalui kesedaran masyarakat, sistem sokongan serta intervensi di peringkat komuniti.
“Istilah pemandiri atau survivor merujuk kepada individu yang pernah mengalami keganasan atau penderaan dan sedang melalui proses pemulihan, membina semula kehidupan serta memperkukuh keupayaan diri untuk meneruskan kehidupan dengan selamat, bermaruah dan berdikari.
“Namun, kita juga perlukan masyarakat untuk bersama-sama bertindak. Sekiranya kita melihat seseorang berada dalam keadaan berisiko, jangan memilih untuk berdiam diri. Dekati mereka dengan empati, berikan maklumat yang tepat,” katanya.
Jelasnya, sebanyak 4,014 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara setakat Jun tahun ini. – UTUSAN
The post SARI@KRT santuni 3,600 mangsa keganasan rumah tangga appeared first on Utusan Malaysia.




