SHAH ALAM, 10 FEB: Program saringan kesihatan percuma merupakan inisiatif Kerajaan Selangor berlangsung di dua tempat minggu ini.
Lokasi berkenaan ialah di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) di Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah pada 14 Februari.
Manakala, tempat kedua ialah di Dewan Pusat Komuniti Kampung Kunci Air Buang, Tanjong Karang (DUN Sungai Burong) pada 15 Februari.
Berdasarkan poster, pemeriksaan yang ditawarkan termasuk kesihatan fizikal, ujian darah, urin, barah, mata, dan gigi.
Peserta digalakkan mendaftar Selangor Saring di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) selain saringan ditawar berdasarkan penilaian faktor risiko individu.
Berikut cara mendaftar Selangor Saring:
1. Download aplikasi SELangkah
2. Tekan butang Selangor Saring
3. Isi borang soal selidik
4. Pilih lokasi dan tarikh di atas
Belanjawan Selangor 2025 memperuntukkan RM2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma yang diperkenal sejak 2022.
Program Selangor Saring antara usaha membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal dengan menyasar individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.
Pada 17 Disember tahun lalu, Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan hampir 7,000 rakyat negeri ini menjalani saringan percuma sepanjang 2024 dengan 38 peratus daripadanya melibatkan individu berumur 46 hingga 64 tahun.
Sebarang masalah boleh menghubungi talian hotline Selcare 1-800-22-6600.

The post Saringan kesihatan percuma dua tempat minggu ini, daftar di SELangkah appeared first on Selangorkini.



