
SHAH ALAM: Seorang sarjan polis yang ditahan Isnin lepas berhubung kes pecah masuk stor ekshibit Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dan kecurian bungkusan barang kes berisi dadah pada hari Jumaat, pernah ditahan kerja kerana didapati positif dadah jenis syabu pada 14 Julai lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan (gambar) berkata suspek lelaki berumur 44 tahun yang bertugas di Bahagian Siasatan Komersial IPD berkenaan telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Beliau berkata desakan kewangan dipercayai menjadi motif tindakan lelaki itu memecah masuk stor eksibit berkenaan yang membawa kepada kehilangan 404 bungkusan barangan kes berisi dadah jenis heroin dan syabu dianggarkan seberat 724 gram (g).
Katanya polis berjaya menemukan 276 sampul barang kes berisi dadah seberat 486 gram yang diletakkan dalam bungkusan plastik sampah, disembunyikan dalam semak berhampiran tempat tinggal suspek di kompleks perumahan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Kita juga percaya dia menggunakan satu atau dua bungkusan dadah untuk kegunaan sendiri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Hussein berkata barangan di dalam di stor berkenaan adalah barang kes membabitkan tempoh 2014 hingga 2020 yang telah mendapat arahan mahkamah untuk dilupuskan, dan suspek tidak berjaya memasuki stor eksibit utama yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang tinggi.
Polis sedang berusaha mengesan baki sampul berisi dadah yang masing hilang. -Bernama
