KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Seorang anggota polis berpangkat Sarjan antara dua individu yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 52.8 Lebuhraya Senai-Desaru, awal pagi Isnin.
Mangsa, Jorari Jusoh, 58, yang memandu Proton X70 bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat manakala seorang lagi mangsa ialah pemandu Proton Persona, Nurul Syifa' Mohd Kasimi, 26, yang juga jurutera di Pengerang, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, anggota itu dikenali sebagai Jorari Jusoh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.
Jelasnya, maklumat berhubung kejadian diterima daripada orang awam kira-kira jam 1.55 pagi.
Menurut beliau, kemalangan membabitkan sebuah Proton Persona dipandu wanita tempatan berusia 26 tahun, Toyota Unser dipandu lelaki berusia 23 tahun dan Proton X70 dipandu lelaki berusia 58 tahun.
"Siasatan awal mendapati Proton Persona dipandu wanita berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton X70 serta Toyota Unser yang datang dari arah bertentangan.
"Akibat perlanggaran itu, pemandu Proton Persona dan Proton X70 mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Yusof berkata, pemandu Toyota Unser tidak mengalami sebarang kecederaan dan kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.





